Ada pemimpin Umno tak setuju serah Kedah, T'ganu 'bulat-bulat' pada PAS

Umno dan PAS masih tidak dapat memuktamadkan pengagihan kerusi untuk PRU15, walau secara asasnya mekanisme pengagihan telah ditetapkan, menurut seorang sumber Umno.

Sumber itu yang terlibat dalam rundingan berkata, ini kerana masih terdapat beberapa perkara yang masih belum dipersetujui kepimpinan parti, antaranya pengagihan kerusi di Kedah dan Terengganu, ekoran bantahan yang diterima.

"Ada pimpinan Umno masih tak setuju sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan bulat-bulat kepada PAS.

"Ini kerana mereka beranggapan bahawa parti masih mempunyai kekuatan di dua negeri itu dan kegagalan dalam PRU14 adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru," katanya


Beliau memberikan contoh bahawa terdapat sepuluh kerusi di Kedah yang akan dimenangi BN - berbanding PAS - jika tidak disebabkan pecah undi oleh calon Bersatu dan Amanah.

Umno dan PAS, menerusi kerjasama Muafakat Nasional, kini giat bermesyuarat bagi membuat persediaan menghadapi PRU15, yang dilaporkan boleh diadakan seawal akhir tahun ini.

Antaranya dengan pembentukan jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri bagi menyelaraskan pergerakan di peringkat negeri dan juga Parlimen, sekaligus mempersiapkan jentera pilihan raya.

Selain pengagihan kerusi antara Umno dan PAS, turut menjadi perhatian adalah agihan antara Umno dengan Bersatu. Ketiga-tiga parti mempunyai tapak sokongan di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Sumber itu berkata lagi, pemimpin tertinggi kedua-dua parti yakin isu tersebut akan diselesaikan atas semangat kekeluargaan.

"Atas semangat kekeluargaan dan menimbang kekuatan dimiliki Umno, agihan kerusi di Terengganu dan Kedah perlu dibuat secara harmoni dan mengambil kekuatan dan sokongan parti.

"Selain itu kita juga perlu mengambil kira rakan kita, Bersatu memandangkan kami bersama dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya lagi.

Sejak termeterainya Muafakat Nasional pada pada September tahun lalu, BN telah berjaya menang di enam PRK, iaitu Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai Kimanis dan baru-baru ini, Chini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan