Akar umbi Bersatu berbelah-bagi beri jawatan pada bukan Melayu

AKAR umbi Bersatu berbelah-bahagi dengan keputusan parti itu yang mahu membuka ruang di barisan pemimpinnya untuk disertai ahli bukan Melayu.

Anggota parti ini memberitahu , mereka kurang senang dengan keputusan itu kerana melihat Bersatu lari daripada matlamat asal memperjuangkan hak Bumiputera.

Kalangan pemimpin parti itu juga melihat ia tidak lebih daripada usaha untuk membolehkan pengikut Mohamed Azmin Ali, yang disingkir daripada PKR untuk mendapat jawatan dalam Bersatu.

Walau bimbang, kalangan pemimpin parti juga juga tidak menolak langkah tersebut perlu bagi kelangsungan parti pribumi itu berdepan dengan pilihan raya akan datang.

Menurut bekas anggota majlis tertinggi Bersatu Faiz Na’aman, beliau percaya penyesuaian itu tidak akan menyebabkan parti berubah sepenuhnya menjadi PKR.

“Sebab (jadi) begini ada banyak pengikut YB Azmin yang bukan Melayu jadi memang Bersatu cuba hendak beri peranan sebab mereka yang tuntut (penyertaan) dalam parti politik.

“Kemungkinan besar kita takkan menjadi seperti PKR. Kalau PKR konsepnya lain, pelbagai kaum. Katalau Bersatu, wujud wadah khas macam PAS (untuk bukan Islam dan bukan Melayu bergiat).”
Jelasnya mesyuarat terakhir jawatankuasa tersebut juga tidak membincangkan usul pindaan untuk menjadikan Bersatu parti berbilang kaum seperti PKR.

Sebaliknya, cadangan yang dibincangkan itu ialah pindaan yang membolehkan parti mewujudkan jawatan khas atau kedudukan khas wakil bukan Islam seperti dalam PAS, kata Faiz.
Contoh itu merujuk kepada sayap Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditubuhkan khas untuk melunakkan imej konservatif parti itu di kalangan pengundi bukan Melayu.

“Untuk pinda perlembagaan ada perkara khusus yang kita pinda. Maksudnya bukan kita pinda untuk ahli bukan Islam boleh pegang jawatan apa saja dalam parti.

“Apa yang kami faham ada sedikit pindaaan supaya mungkin ada jawatan khas sama ada dalam majlis presiden atau majlis pimpinan tertinggi untuk ada jawatan khas wakil bukan Islam,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengenai usaha untuk mengkaji perlembagaan bagi membolehkan ahli bersekutu memegang jawatan.

Muhyiddin berkata kajian itu akan dilaksanakan oleh jawatankuasa diketuai bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rais Yatim sebelum dibentangkan kepada MPT.

Bekas ketua bahagian Hulu Langat, Rais Zulkifli pula berkata majoriti akar umbi sememangnya bimbang pindaan perlembagaan tersebut akan menjadikan Bersatu tidak ubah seperti PKR.

Namun beliau juga bersetuju dengan penjelasan dibuat salah seorang pengikut Azmin, Zuraida Kamaruddin, mengenai kemasukan ahli bukan Melayu.

Katanya dalam pertemuan dengan ketua bahagian di peringkat Selangor baru-baru ini, Zuraida menjelaskan, langkah itu untuk membolehkan calon Bersatu boleh bertanding di kerusi campuran.
Justeru, akar umbi tidak boleh melatah dan perlu menunggu sehingga struktur lengkap diumumkan sebelum menilai tindakan tersebut, kata Rais.

“Ramai juga ahli yang tanya pada saya adakah Bersatu akan jadi macam PKR. Kerana mereka risau Melayu tak ada platform lepas ini.

“Ketika ini terlalu cepat untuk ahli melatah kerana masih tidak jelas struktur parti macam mana apabila dipinda adakah akan ditubuhkan satu sayap baharu atau seperti PAS,” katanya.

Timbalan Ketua Bahagia Sipitang Mazlan Manan turut senada dengan Rais dan berkata akar umbi parti melihat isu itu dengan bimbang dan berbelah bahagi.

“Perasaan mereka bercampur-baur. Mereka lihat ada kelebihan dan kontra dengan keputusan tersebut,” katanya.
Ketua Penerangan Wilayah Bersatu, Mohd Shahni Ismail yang menyokong bukan Melayu diberi jawatan pula mahu akar umbi bergerak ke depan dan tidak dikongkong sentimen kaum.

Katanya, anggota harus terbuka dan memberi peluang kepada ahli bersekutu untuk membolehkan Bersatu melangkah lebih jauh.

“Bukan nak gugat hak tapi kita kena berubah,” katanya.

Turut senada seorang ahli Bersatu, Haji Azmi yang berkata parti berlandaskan perjuangan satu kaum sahaja tidak dapat bergerak jauh.

Antara pemimpin bukan Melayu dari kalangan pengkut Azmin ialah Santhara Kumar yang mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu lebih awal pada awal bulan ini.

“Apa yang saya tahu Ahli Parlimen Segamat Santhara Kumar turut menyertai Bersatu bermakna kita dah terima bukan Bumiputera ini,” katanya.

Bagi Ketua Armada Kepong, Ajai berkata pimpinan perlu melakukan penjelasan secara giat kerana langkah itu tidak mudah diterima oleh akar umbi

“Kita mengalu-alukan keputusan itu namun akar umbi akan ambil masa untuk terima tapi kita akan cuba sedaya upaya memastikan mereka terima.

“Dan apabila mesyuarat tergempar meluluskan pindaan, maka akan bermulalah fasa baru bagi Bersatu,” katanya.

Tujuh lagi pengikut Azmin yang menyertai Bersatu ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan