BN, PAS kuasa politik terbesar di Malaysia, kata Najib

 

Oleh

BARISAN Nasional (BN) dan Muafakat Nasional akan memegang tampuk pemerintahan Malaysia kerana mereka adalah gabungan politik terbesar di negara ini, kata Najib Razak.

“Ini bererti kita sudah bangkit dari kekalahan, kita tidak tewas. Kita jatuh sementara sahaja tetapi tidak tersungkur.

“Kita kalah kalau kita tidak ada semangant nak bangkit balik. 

“Umno, BN dan Muafakat Nasional daripada PRU14 dan hari ini kita merupakan kekuatan yang amat besar dalam konteks politik tanah air kita,” kata bekas perdana menteri itu pada program bersama pengundi di Felda Gunung Besout 1 di Slim, hari ini. 

Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bulan lalu atas pertuduhan rasuah, berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim amat bermakna dan penting untuk memberi isyarat jelas bahawa BN sudah bangkit semula.

Kebangkitan BN katanya bermula dengan kemenangan di PRK Cameron Highlands yang diadakan pada Januari tahun lalu.

“Pada setiap pilihan raya kecil, berdasarkan kepada calon BN dan berdasarkan kepada tiket Muafakat Nasional bersama-sama rakan kita PAS, calon BN telah menang dengan cemerlang setiap kali pilihan raya diadakan.”

Beliau menggesa penduduk Felda mengundi calon BN Mohd Zaidi Aziz sebagai isyarat jelas kepada pesaing.

Pengerusi BN itu pada program hari ini bagaimanapun tidak menyebut nama Bersatu, yang keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

Di Johor hari ini, Muhyiddin berkata Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional yang ditubuhkan oleh Umno dan PAS.

“PRU yang akan datang kita minta lebih cepat lagi baik. Kita tak tahu bila, tapi ini persediaan, pembuka tirai.

“Jadi kita beri isyarat, pada orang kita, pada orang atas pagar bahawa masa sudah tiba kita kembalikan kepada orang yang tahu tadbir negara kita, ” kata Najib.

PRK Slim adalah pilihan raya kecil ke-12 diadakan sejak 2018. Daripada jumlah itu,setakat ini BN menang enam PRK.

Calon BN, Zaidi, akan bertembung dua calon bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Segaran Subramaniam.

Amir, bekas ahli Bersatu, sebelum ini diumumkan sebagai calon Pejuang, bertanding atas tiket bebas kerana pendaftaran parti belum diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan