Elok Khairuddin jadi PM,kalau betul bawa pelaburan RM82 bilion

MENTERI PAS Mohd Khairuddin Aman Razali patut diangkat jadi perdana menteri, kata Teresa Kok, kalau betul beliau membawa pulang pelaburan RM82 bilion hasil lawatannya ke Turki, seperti didakwa Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam kenyataan di Dewan Rakyat hari ini, Azeez berkata lawatan Khairuddin selaku menteri perladangan dan komoditi “menyelamatkan negara” kerana membawa balik pelaburan sebanyak RM82 bilion.

Teresa, yang juga bekas menteri portfolio sama, berkata beliau terkejut dengan kenyataan Azeez.

“Adakah Azeez tahu nilai RM82 bilion? Seluruh hasil eksport daripada sektor komoditi di bawah Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi pada 2019 ialah sebanyak RM114.2 bilion, yang daripada jumlah itu sektor minyak sawit menyumbang RM59 bilion, sektor getah menyumbang RM28.1 bilion.

“Mustahil seorang menteri ke Turki untuk lawatan peribadi selama beberapa hari dan bawa masuk pelaburan RM82 bilion terutama ketika tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Azeez bercakap macam budak-budak,” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Azeez tidak menjelaskan dari mana beliau mendapat angka RM82 bilion itu. 

Pada sesi perbahasan sebelah petang, Azeez membuat pembetulan dengan memberitahu Dewan Rakyat jumlah itu adalah keseluruhan pelaburan dalam tempoh setengah tahun Khairuddin menjadi menteri.

“Ini menunjukkan beliau (Azeez) berbohong lagi,” kata Teresa.

Katanya, kalau Azeez boleh membuktikan Khairuddin membawa masuk pelaburan sebanyak itu baik hasil lawatan peribadinya ke Turki atau semasa lima bulan jadi menteri Kabinet, beliau mencadangkan agar ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilantik perdana menteri kerana prestasinya yang luar biasa.

“Prestasinya mengatasi semua menteri kabinet yang lain. Malah lebih cemerlang berbanding Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Kementerian Kesihatan minggu lalu mengesahkan Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib yang dikenakan ke atas semua pihak yang masuk ke Malaysia, termasuk warga negara yang pulang.

Khairuddin pulang dari lawatannya ke Turki pada 7 Julai. Menurut Kementerian Kesihatan beliau dikenakan kompaun pada 7 Ogos.

Kenyataan Kementerian Kesihatan itu bagaimanapun menambah kontroversi kerana pada 19 Ogos lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu sedang disiasat.

Tindakan Khairuddin melanggar kuarantin wajib itu mendapat perhatian umum dan diulas oleh Kementerian Kesihatan hanya selepas Kok membangkitkannya di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Khairuddin meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri sebagai derma untuk Tabung Covid-19.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun melihat gaji empat bulan itu tidak boleh menutup kesalahan Khairuddin.

“Jangan cuba untuk membayar dengan empat bulan gaji. Ini bukan isunya, (soalnya) maruah menteri yang sedar langgar peraturan dibuat Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pemimpin PAS sementara itu mempertahankan Khairuddin dengan alasan antaranya walaupun tidak menjalani kuarantin, menteri itu tidak mendatangkan bahaya menularkan Covid-19.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan