Jangan kembalikan budaya surat sokongan

Oleh Howard Lee

BARU-baru ini, telah tular di media sosial sepucuk surat sokongan daripada seorang timbalan menteri Perikatan Nasional kepada seorang menteri kanan, meminta supaya anaknya diberi kerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Minit tulisan tangan daripada menteri kanan tersebut jelas persetujui permohonan tersebut.

Surat tersebut merupakan bukti yang cukup jelas bahawa Timbalan menteri tersebut telah melakukan kesalahan di sisi undang undang, baik dari segi salah guna kuasa dan kedudukan, mahupun permintaan sesuatu yang bersifat habuan. Tambahan lagi, Timbalan menteri tersebut telah pun mengaku bahawa surat itu sah dikeluarkan oleh beliau.

Beberapa minggu yang lepas, tular juga sebuah video yang telah merakamkan ucapan seorang lagi timbalan menteri Perikatan Nasional yang mengisytiharkan secara bangga dan gagah bahawa dengan mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan peruntukan kerajaan adalah contoh baik cara mengguna jawatan.

Jelas bahawa ‘penggunaan jawatan’ sebegini akhirnya menjadi budaya arus perdana dalam urus tadbir kerajaan Perikatan Nasional, yang merupakan amalan lumrah kerajaan Barisan Nasional dahulu. Pelbagai dalil atau alasan yang dikeluarkan oleh mereka tidak akan menafikan lagi hakikat bahawa ini sebenarnya salah guna dan penyelewengan jawatan.

Oleh itu, kami selaku anak muda yang cintakan negara dan tidak mahu melihat kehancuran institusi kerajaan, serta kuasa milik rakyat diseleweng dengan sewenang-wenangnya demi kepentingan diri politikus, kami akan membuat satu laporan polis terhadap timbalan menteri tersebut.

Sebenarnya, isu pokok yang berbangkit di sini adalah sesuatu yang lebih besar.

Rakyat marhaen dihalang bersemuka- apatah lagi berpeluk dan cium dengan orang tuanya buat kali terakhir kerana terpaksa kuarantin selepas kembali ke tanah akhir dari kerja luar negara, menteri pula ke luar negara sekeluarga dan selepas pulang masih bebas berleluasa ke sini sana. Inilah hakikat dan layanan antara dua darjat.

Menteri sesama menteri bergembira menikmati juadah hari raya tanpa pelitup muka, udang galah sebagai pembuka selera ditaja kenduri berhari-hari; rakyat biasa pula didenda seribu kerana muka tidak dilitup dengan sempurna mendedahkan batang hidung semata-mata. Ada makcik tua dan rakyat biasa yang dikenakan belasan ribu denda. pula yang kena. Inilah hakikat antara dua darjat.

Kaum pekerja anak muda menghadapi kesengsaraan ketandusan peluang pekerjaan ekoran pandemik yang melanda dunia dan negara dan ramai terpaksa meninggalkan keluarga menjadi anak perantauan demi sesuap nasi untuk diri dan keluarga;  politikus pula boleh bergantung kepada surat sokongan dari abah Timbalan Menteri yang reti guna jawatan untuk senang-senang mendapat gaji lumayan dan projek besar. Inilah hakikat antara dua darjat.

Di bawah pemerintahan Perikatan Nasional, inilah hakikat sebenar buat anak watan warga negara kita yang tercinta. Mereka yang kini berada di tampuk kuasa hanya mencintai kroni dan keluarga mereka, rakyat biasa jangan harapkan apa-apa dari mereka
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan