Khairuddin tidak akan terkecuali, serah kepada pihak berkuasa, kata PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada seorang pun rakyat Malaysia yang akan terkecuali di bawah undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Ia termasuklah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerana tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki.

Muhyiddin berkata, perkara tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada orang lain yang terkecuali.

“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkunjung ke Turki pada 3 hingga 7 Julai atas urusan tidak rasmi.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pas itu didakwa tidak menjalani kuarantin wajib apabila dilihat hadir ke Parlimen enam hari selepas kepulangannya pada 13 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 22 Ogos lalu pula tampil menjelaskan bahawa kompaun sebanyak RM1,000 telah dikenakan kepada menteri Pas terbabit.

Walau bagaimanapun, hal tersebut mengundang kecaman dan pertikaian orang ramai kerana wujudnya berat sebelah terutama mengambil kira orang awam yang dikenakan tindakan akibat melanggar SOP Covid-19.

Antaranya, wanita warga emas Nur Emah Mohamad Hashim, 72, di Ipoh dijatuhi hukuman penjara selama satu hari dan denda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Sementara itu, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, dipenjara lima bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan