Apa salahnya memohon maaf?


Sebagai orang Islam kita tidak ada pilihan selain daripada memilih PAS apabila datang bab berpolitik.

PAS dari awal penubuhannya memperjuangkan sebuah pemerintahan yang menjadikan Islam sebagai panduan, dan semua kita tidak mempunyai pilihan selain daripada wajib menyokong perjuangan ini.

Pada zaman awalnya PAS berjuang dalam penuh kesunyian bilamana mereka berjalan sendirian semasa menempuh kepayahan demi kepayahan semata-mata untuk menegakan syiar Islam.

PAS diperlekehkan dalam segala segi.

Ketika itu pejuang-pejuang PAS dilihat begitu kekampungan dan perlawanan mereka dalam beragama dipenuhi dengan sindiran dan pelbagai cemuhan.

Namun mereka tetap tegap dalam kesatuan demi keyakinan bahawa jalan yang mereka tempuhi adalah jalan benar. Pengakhiran yang mereka harap ialah kemenangan atau mati berjuang.

Kemudian dari itu, PAS - yang dilihat sebagai king maker, atau sekurang-kurangnya begitulah yang mereka fikir tentang diri mereka - telah menerima tawaran untuk berkerjasama dengan pihak pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.

Untuk sedikit masa, PAS seakan-akan keluar dari kekolotan berfikir apabila datang dalam hal membicarakan politik.

Daripada hanya dianggotai para agamawan, PAS kemudian diwakili juga oleh para profesional. Ia sebanyak telah membuka hati lebih ramai orang untuk menyokong perjuangan mereka.

Kerjasama itu - walaupun mencurigakan - dapat disimpulkan sebagai satu jalan yang harus mereka lalui demi untuk memerdekan Islam dalam negara yang dilihat sedang jatuh ke lembah korupsi yang teruk.

Kegagalan perkongsian dengan pihak pembangkang telah membuka mata PAS lalu mereka kembali menjadi sebuah partai yang sunyi sekali lagi untuk seketika.

Keanggotaan para profesional itu juga dibuang dengan sangat sistematik oleh pendokong tegar mereka dengan sokongan para agamawan dalam partai tersebut.

Boleh berdiri megah

Desus-desas yang mengatakan PAS akan bergabung dengan partai memerintah sentiasa dinafikan oleh hampir semua penyokong dan pimpinan tertinggi mereka.

Justeru sesiapa yang giat menuduh begitu akan dihukum sebagai tali barut parti musuh yang didakwa mereka kerjanya tidak lain hanya mahu memfitnah PAS.

PAS bertegas hingga ke saat akhir. PAS mempertahankan kononnya tidak mungkin sebuah partai yang menjadikan Islam sebagai pegangan akan bersekongkol dengan sebuah partai yang mengutamakan bangsa.

Namun di sebalik segala penafian PAS, akhirnya terbukti memang parti itu merancang untuk bersama-sama dengan Umno yakni partai yang paling dimusuhinya sebelum kemudiannya mereka menjadikan DAP pula sebagai punca segala masalah hidup partai tersebut hari ini.

Apakah motivasi yang menyebabkan PAS setuju untuk bekerjasama dengan Umno?

Mungkinkah ada gentlemen’s aggrement yang mengatakan bahawa Umno bersetuju untuk menjadikan Islam sebagai teras perjuangan mereka apabila saja 'penyatuan suci' itu dibentuk?

Jika jawapannya adalah ya, maka PAS boleh berdiri megah kerana asas perjuangan mereka masih teguh berdiri walaupun dengan siapa mereka bekerjasama.

Jika tidak ada, maka PAS sedang berada di suatu tebing yang akan menjerumuskan partai itu ke lembah yang akan menyesatkan seluruh perjuangan mereka.

Sentiasa dibela rakan-rakan

Apa yang dibimbangkan ialah sekiranya PAS hanya dijadikan batu loncatan partai-partai yang berkerjasama dengan mereka.

Segala macam kemalangan yang menimpa partai berkenaan mungkin disebabkan oleh terburu-burunya politikus PAS untuk duduk dalam kerajaan.

Mereka dibuai keyakinan bahawa dengan kuasa mereka akan bisa mengubah segala macam kekusutan yang dialami negara ini dengan perancangan mereka dan dibantu doa dan juga sedikit air jampi.

Demi saja mendapat kuasa, politikus PAS nampak lantas kehilangan arah.

Orang ramai melihat mereka berlumba-lumba berebut jawatan. Setelah duduk di atas mereka lantas menggigit jawatan tersebut dengan gigi geraham.

Apa pun kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan akan sentiasa dibela oleh rakan sejawatan serta penyokong mereka.

Segala macam ayat al-Quran, hadis dan perumpaan suci dikeluarkan bagi membuktikan bahawa betapa benarnya apa juga tindakan yang dilakukan oleh ahli partai.

Penyokong mereka yang sekian lama dilekeh oleh orang banyak akibat memberikan dukungan tanpa mahu berfikir pula sentiasa bersedia dengan berbagai alasan demi untuk mempertahankan sang ketua.

Mereka sekadar mahu berbangga dengan ‘kemenangan’ walaupun bukan dengan mendapat mandat pengundi.

Inilah kesilapan PAS.

Mereka mempunyai peluang untuk memperkenalkan kepada semua betapa Islam itu adalah tidak ada yang lain kecuali hanya membawa kebenaran.

Apabila melakukan kesilapan, apa salahnya memohon maaf. Jika perlu turunlah dari kerusi jawatan. Lakukan ia segera demi kebaikan yang lebih besar.

Penyokong PAS juga sepatutnya dengan hati terbuka menerima kesalahan pemimpin mereka tanpa perlu melompat melatah dan marah sebelum menuduh betapa orang yang mereka tidak gemari sentiasa dengki dengan kegemilangan sekarang ini.

PAS harus sedar bahawa mereka sedang digula-gulakan. Sebenarnya tidak ada sesiapapun yang teringin untuk mencemburui nasib malang sebuah perjuangan.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis yang menggemari hujan tetapi bukan untuk dibuat minuman.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan