Asas perjuangan terhakis, Pas tidak mampu tarik lebih banyak sokongan

Oleh Zakaria Musa

Gelagat kepemimpinan Pas mutakhir ini — sejak menganggotai kerajaan pintu belakang — menarik untuk diperhatikan. Ada-ada sahaja perlakuan dan kenyataan di luar daripada kebiasaan, mungkin untuk menyesuaikan dengan posisinya sebagai sekutu rapat gabungan parti pemerintah.

Dahulu, Pas dilihat berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam, walaupun mungkin dianggap naif dalam strategi politik. Perkara-perkara besar khususnya bagi menentukan haluan dan dasar parti mesti dirujuk kepada muktamar tahunan dan Majlis Syura Ulamak. Kini — bermula lebih kurang lima tahun lalu — nampak presiden menentukan segala-galanya; ahli dan pemimpin akar umbi dikerah untuk hanya “dengar dan taat”.

Tiada lagi persoalan yang mempertikai, ataupun mohon penjelasan, kerana ia dianggap amalan “tidak beradab” yang merosakkan rukun berjamaah. Timbalan Presiden Pas sendiri mengakui, dalam hal-hal strategi dia sebagai orang nombor dua parti sendiri pun tidak tahu. Segalanya di bawah bidang kuasa presiden.

Itulah yang berlaku apabila keputusan dibuat untuk memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 lalu. Tiada perbahasan dalam muktamar. Usul diterima tanpa bahas atas arahan presiden.

Seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Syura, dan tentunya akan diterima dengan mudah. Anehnya, meskipun tidak lagi bersama Pakatan Rakyat waktu itu, Pas masih menganggotai kerajaan negeri Selangor sehingga habis penggal. Pakatan politik ditolak tetapi habuan dalam kerajaan tetap dirangkul!

Pas dikesan menerima duit Umno sejumlah RM2.5 juta tunai tidak sampai dua bulan sebelum PRU14. Seperti diduga para pemimpinnya bermati-matian menafikannya, malah menyifatkan pendedahan itu sebagai fitnah jahat.
Apabila diasak bertalu-talu, akhirnya Pas mengaku juga, atas alasan parti itu bersedia menerima derma siapa sahaja, tanpa mengira latar belakang pendermanya.
Bagaimanapun pegawai kanan Bank Islam yang menguruskan transaksi duit daripada pegawai khas Bendahari Umno itu telah ditekan sehingga meletakkan jawatan.

Khabarnya, Najib Razak cukup marah apabila “hubungan sulit” itu terbongkar. Pas dengan mudah bercakap bohong menafikan pendedahan tersebut.

Atas hujah demi kepentingan dan survival parti, ulamak-ulamak Pas sanggup membenarkan pembohongan dan pendustaan.

Sekiranya terlondeh aktiviti intim pemimpin Pas-Umno di kala kemarahan rakyat terhadap Najjb memuncak sebelum PRU14, nescaya sokongan terhadap lambang bulan menjunam pada Mei 2018 itu.

Dan strategi “tiga penjuru” digunapakai untuk memecahkan undi tradisi pembangkang, tetapi ternyata ia “makan tuan”.
Pas terbukti banyak kali bersikap oportunis dengan memanipulasi hujah agama.

Mengecam teruk

Sebelum PRU14, Pas mengecam teruk Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan negarawan ulung itu hanya sesuai bertugas di Klinik 1Malaysia. Tetapi apabila Pakatan Harapan menang, Mahathir dipuji dan disanjung.

Malah, Pas mencadangkan untuk membawa usul percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat agar Mahathir menerajui kerajaan sehingga PRU15. Namun, masa sama, Pas bersekongkol malah mengaku menjadi “pemain penting” menumbangkan Mahathir dan mengangkat Muhyiddin Yassin.

Kalau bukan hipokrasi, istilah apa yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap opurtunis Pas ini?

Kecenderungan pemimpin Pas sehingga peringkat tertinggi, Mursyidul Am, untuk mempertahankan parti boleh difahami, tetapi dengan memanipulasi hujah agama dan al-Quran membela menterinya yang tidak mematuhi SOP kuarantin Covid-19, ia adalah langkah keterlaluan.

Begitu juga dengan menggunakan hadis Nabi s.a.w. bagi menghalang proses demokrasi ahli-ahli menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan calon PRN Sabah.

Semakin kuat dipertahankan menteri yang hanya dikompaun RM1,000 sahaja itu, semakin terserlah sikap “asobiyah” pemimpin Pas. Ini amat bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam; semua individu sama di sisi undang-undang tanpa mengira kedudukan.

Sikap Pas terhadap Najib yang terbukti salah berkaitan amalan rasuah dan salahguna kuasa lebih mengejutkan.

Sebelum mahkamah membuat keputusan, walaupun terpampang jelas dalam laporan media tentang rampasan ratusan juta ringgit dan barang- barang kemas bernilai lebih tinggi, Pas menganggap tuduhan terhadap Najib sebagai fitnah.
Selepas disabitkan mahkamah pun, sikap Pas terhadap Najib dan Umno tidak berubah. Sedangkan Najib diakui hakim telah melakukan pengkhianatan besar kepada negara.
Pas mungkin boleh dianggap beruntung kerana mempunyai ahli dan pengikut yang sentiasa taat-patuh. Penyokong yang kritis rasanya telah beralah kiblat.

Bermodalkan sentimen agama yang tambah menebal, Pas seperti nampak kukuh tetapi ramai percaya upayanya untuk menarik lebih banyak sokongan semakin pudar.

Masyarakat yang semakin terdidik boleh menilai arah tuju dan kecenderungan Pas sekarang. Kian terhakis nilai-nilai murni dan asas perjuangan, khususnya yang dirintis pemimpin terdahulu, seperti Almarhum Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lihat sahajalah perbahasan di muktamar yang baharu berlangsung. Tidak terjangkau dalam fikiran boleh diusulkan anugerah pingat Dato’ untuk ketua-ketua Pas kawasan (Pas mempunyai hampir 200 kawasan) demi meraih sokongan rakyat kepada parti itu!
Pas tidak ubah budak suruhan dalam PN apabila langsung tidak mendapat satu kerusi bertanding pada PRN Sabah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan