Oleh DANIEL MIZAN QAYYUM
Sejak tersebarnya berita pembentukan sebuah parti anak muda di media
sosial, perhatian telah diberikan oleh ramai pihak. Orang ramai mula
berspekulasi, ada yang berharap, dan ada yang skeptik.
Perhatian khalayak telah dipancing dengan siri mesyuarat anak muda.
Pada satu ketika Syed Saddiq bergambar bersama para teknokrat muda, dan
pada masa yang lain muncul foto di antara Liga Rakyat Demokratik dan
Challenger Malaysia, situasi ini memungkinkan sesuatu sedang dirancang
di belakang tabir.
Tangan-tangan sedang bergerak mengatur satu pergerakan yang menjurus
kepada penubuhan satu Parti Anak Muda. Beberapa ‘headlines’ menangkap
perhatian khalayak dengan beberapa ikon anak muda diangkat bersama-sama
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Menjelang 31 Ogos 2020, bocornya senarai 30 nama individu di laman media sosial. Sahih atau tidak, kita tunggu dan lihat.
Antara nama-nama peneraju sudah tentunya Syed Saddiq dan beberapa
nama yang dikaitkan sebagai “Team Saddiq” dan nama-nama besar seperti
Jalil Rasheed, bekas CEO Permodalan Nasional Berhad, Nadhir Ashafiq, CEO
The Lorry, dan Muthalib Uthman, CEO Kota Buku.
Khalayak mula mempersoalkan, di mana komposisi anak muda dan
mahasiswa yang mengakar di seluruh pelosok negara di dalam percaturan
ini? Soalan yang lebih kritikal juga adalah siapa tangan- tangan yang
bergerak mengatur pemilihan ini?
Tanpa satu dialog terbuka atau kongres yang dapat disertai oleh
majoriti anak muda dan mahasiswa di seluruh negara, pembentukan 30
individu ini kelihatan canggung seumpama berada di dalam gelembung
Bangsar.
Melihatkan naratif anak muda cuba dicemari dan dimiliki oleh
pemain-pemain politik dan dikawal (gatekeeping) oleh pemain-pemain
politik yang sama, satu gelombang protes telah wujud.
Tuntutannya mudah,
jika benar demi anak muda, jangan khianati kepercayaan anak muda.
Umum bersetuju, pelantikan dan pemilihan 30 individu dalam satu
jawatankuasa ini adalah satu kesilapan yang membawa kepada kesipuan
naratif anak muda itu sendiri.
Yang perlu dilakukan adalah mengakui kesilapan, menerima kritikan,
membuat pembetulan, memperkenal pembaharuan dan seterusnya maju ke
hadapan.
Walau bagaimanapun, setelah menerima kritikan-kritikan di laman maya,
pemain-pemain politik ini terus ego dengan semangat jalan terus dan
menonong sambil matanya terpejam.
Satu pertemuan dirancang agar pembinaan sebuah gerakan menuju kepada
pembinaan parti anak muda dapat menarik lebih ramai khalayak untuk
sama-sama menyokong.
Politik anak muda itu bukan terhad untuk jadi ahli parti. Buktinya
pada malam itu, pertemuan itu dianjurkan oleh pihak-pihak yang inginkan
ketelusan dalam pembentukan parti anak muda, lantas mengeluarkan duit
poket sendiri untuk membayar sewa dewan yang menjadi lokasi pertemuan.
Pertemuan yang tidak dihebahkan ini akhirnya mengumpulkan lebih 50
orang anak muda dan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.
Ini bukan sebahagian rencana jawatankuasa parti, tapi ini adalah usaha anak muda dan mahasiswa yang mahukan jawapan.
Walau bagaimanapun, pertemuan pada Selasa malam di Restoran Amjal
lebih banyak menimbulkan persoalan daripada menemukan jawapan. Angin
dari pendingin hawa tidak lagi menderu rasa dinginnya. Soalan-soalan
yang terbuku kini dapat diajukan kepada wakil-wakil parti anak muda yang
hadir.
Siapakah pemegang taruh? Apakah ideologinya? Apakah polisinya?
Siapakah yang memilih mereka dalam kalangan 30 orang ini? Apakah yang
telah dibincangkan?
Apa objektif pertemuan 30 individu ketika 31 Ogos 2020? Mengapa mahasiswa dan anak muda yang lain diketepikan?
Belum ditemui
Daripada timbal balik soalan dan jawapan dapat disimpulkan bahawa
tiada apa yang telah dimuktamadkan lagi. Semuanya masih dalam
perbincangan. Anak muda dijemput untuk sertai dan sama-sama membawa ke
arah masa hadapan anak muda yang lebih maju.
Jika jawapan yang dicari masih belum ditemui, kenapa kerusi-kerusi di meja rundingan telah dipenuhi?
Kredit harus diberikan kepada wakil bagi pihak parti yang akan
ditubuhkan ini untuk berhadapan dan berkongsi aspirasi mereka terhadap
parti ini. Pun begitu, adalah tidak adil untuk meletakkan bebanan di
bahu 4 orang wakil yang hadir pada malam itu dan 26 yang lain tidak
perlu memegang standard akauntibiliti yang sama.
Dalam penubuhan sesuatu yang amat baru, adalah malang jika
tangan-tangan pemain politikus dibiarkan bermaharajalela membuat
keputusan. Ini politik orang tua. Politik merebut kuasa.
Politik memasang pegawai khas di setiap penjuru untuk menjaga
kepentingan pemain-pemain politik.
Ini semua taktik lama. Dibungkus di
dalam naratif baru, dijenamakan sebagai politik anak muda.
Anak muda iaitu sendiri definisi yang belum konklusif. Tapi
sebaik-baik anak muda adalah anak muda dan mahasiswa yang hadir pada
malam itu memegang teguh prinsip ketelusan, akauntibiliti dan ini
terbukti apabila standard yang sama digunapakai terhadap kawan dan lawan
tanpa gentar.
Pada akhirnya kritikan pada malam itu telah disampaikan, yang perlu
dilakukan adalah mengakui kesilapan, menerima kritikan, membuat
pembetulan, memperkenal pembaharuan dan seterusnya maju kedepan.
Jika gagal, teruskanlah hidup kemabukkan dalam gelembung Bangsar kalian.
*DANIEL MIZAN QAYYUM merupakan penulis adalah pengasas Demokrat dan graduan undang-undang Universiti Malaya (UM).
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan