48 jam untuk Muhyiddin buat keputusan


Oleh Kolar Biru 

 UMUM mengetahui bahawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober hari Selasa.

Ini menjadikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya mempunya lebih kurang 48 jam sahaja untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional pimpinannya. Jika Anwar ditakdirkan menjadi perdana menteri ke-9, tiada individu dan pihak lain yang harus dipertanggungjawabkan melainkan Muhyiddin sendiri.

Muhyiddin perlu sedar bahawa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional merupakan pakatan politik yang longgar kerana hanya berbentuk “kerajaan campuran”. Pendek kata, parti-parti yang membentuk PN hanya ibarat tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain dan hanya berkongsi seteru politik yang sama iaitu DAP.

Dua faktor ini sahaja tidak cukup untuk mengukuhkan PN yang rapuh. Muhyiddin dan parti pimpinannya Bersatu juga perlu ingat semasa PN dibentuk pada Mac 2020 bahawa Umno, PAS, GPS, Star dan PBS tidak menyertai atau “masuk” ke dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin tersebut tetapi kesemua parti-parti ini bersama-sama menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan.

Ini menjadikan semua parti merupakan rakan kongsi dan kadar “saham” yang dipegang oleh setiap parti selaku rakan kongsi pastinya bergantung kepada jumlah kerusi ahli Parlimen yang dimiliki. Sebelum tertubuhnya parti PN secara rasmi, Bersatu hanya merupakan rakan kongsi yang kedua di belakang Umno, itupun hasil sumbangan bekas ahli-ahli Parlimen Umno yang melompat ke Bersatu.

Demi menyelamatkan negara dalam kemelut politik berterusan selepas perdana menteri ke-7 meletakkan jawatan, Umno berlapang dada untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku perdana menteri yang baru walaupun Umno mempunyai kerusi ahli Parlimen yang terbanyak. Demi menyelamatkan negara dari kerakusan dan kerosakan yang dibawa oleh DAP juga, Umno tampil memberi sokongan penuh.

Walhal, pada masa tersebut Umno “has nothing to lose”. Umno/BN sudah mula mendapat rentak sebagai pembangkang pada masa itu dengan memenangi beberapa siri PRK berturut-turut. Sentimen rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang Bersatu sebagai ahlinya pula sudah semakin memburuk hasil kegagalan memerintah dengan adil dan baik ditambah dengan penipuan-penipuan manifesto. Pendek kata, Umno/BN berada di landasan yang tepat untuk berdepan PRU15 yang akan datang.

Sama ada diheret atau terheret dalam kemelut politik ciptaan Bersatu sendiri, Umno jugalah “king maker” yang mengangkat Muhyiddin selaku perdana menteri ke-8. Namun, apa yang terjadi dalam tempoh tujuh bulan memerintah?

Muhyiddin dan Bersatu masih bersikap ego dengan beberapa pemimpin utama Umno dan parti Umno itu sendiri. Segala jawatan dan kelebihan yang diberikan kepada pemimpin Umno hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga” dan dilihat kurang ikhlas, mungkin hasil kesumat yang masih menebal terhadap beberapa pemimpin dan bekas pemimpin Umno.

Selain daripada itu, tempoh tujuh bulan memerintah sejak Mac 2020 sepatutnya cukup bagi Muhyiddin dengan kuasa yang ada selaku perdana menteri untuk menarik sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam usaha memperkuatkan PN. Malangnya, kekuatan PN hanya berada di takuk lama malah kelihatan rapuh dari hari ke sehari.

Mungkin aura, figura dan persona Muhyiddin Yassin tidak cukup untuk menarik sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain. Ramai berpendapat, jika Anwar menjadi perdana menteri kelak, Anwar mampu menarik lebih ramai ahli Parlimen demi menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh dan stabil melalui agenda Reformasi yang tertangguh.

Namun apa yang penting untuk Anwar pula, adakah beliau sudah menjumpai formula mujarab untuk memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen untuk disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Selasa ini? Yang pasti, hanya “Kerajaan tanpa DAP” yang mampu menarik sokongan parti-parti seperti Umno, GPS dan PAS untuk bersama-sama menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh daripada Kerajaan Muhyiddin pada hari ini, Anwar Ibrahim perlu sokongan Amanah juga. Sanggupkah Amanah tidur sebantal dengan PAS? Sanggupkah juga Mohamad Sabu meninggalkan rakan baiknya Lim Guan Eng? Hanya Anwar yang boleh menjawab persoalan-persoalan ini.

Dalam situasi ini, Umno sekali lagi “has nothing to lose” tetapi pihak yang berdepan risiko “everything to lose” adalah Muhyiddin dan Bersatu. 48 jam sahaja tinggal Muhyiddin, ego atau kuasa?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan