Agong ada beberapa pilihan, kata pakar, penganalisis


MASA depan politik Malaysia terletak pada Yang di-Pertuan Agong selepas baginda menerima menghadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini, kata pakar perlembagaan dan penganalisis politik.

Baginda mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan, termasuk mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan untuk menamatkan kemelut politik, seperti kata salah seorang daripada mereka.

Mereka bagaimanapun sepakat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentu mahu memeriksa lebih lanjut dakwaan Anwar bahawa beliau kini mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong, kata mereka, mempunyai tiga pilihan: menerima dakwaan Anwar, mencadangkan anggota Dewan Rakyat untuk bersetuju meneruskan kerajaan sedia ada sehingga habis penggal, dan meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk letak jawatan.

Sekiranya baginda membuat pilihan ketiga, Muhyiddin boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, kata mereka.

Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia Dr Azizuddin Mohd Sani berkata Yang di-Pertuan Agong boleh jadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik dan mencadangkan kerajaan perpaduan.

“Politik boleh cari kata putus dengan berkompromi, nak gaduh sampai mana? Saya rasa orang tengah iaitu Al-Sultan Abdullah boleh mencari jalan dalam polemik ini.

“Saya nampak Agong boleh bertindak dengan membawa ahli Parlimen berbincang selesaikan konflik, kecuali kalau Anwar mempunyai majoriti yang lebih besar.

“Lebih baik Agong panggil menghadap Muhyddin, Anwar dan semua ahli Parlimen dan tubuh kerajaan perpaduan. Mereka perlu berjanji untuk tidak  berpecah hingga tamat isu Covid-19 dan tempoh penggal ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah undang-undang perlembagaan Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin yakin Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksaannya untuk meneliti dan menyemak dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Jika yang menghadap itu perdana menteri dan dakwa dirinya hilang kepercayaan oleh Ahli Dewan Rakyat, beliau boleh menasihati Agong untuk bubar Parlimen.

“Tetapi Anwar bukan perdana menteri. Apa yang akan berlaku (hari ini) ialah beliau menyembahkan senarai nama yang kononnya menyokong beliau. Jadi, Agong pasti akan menyiasat dan menyemak dakwaan Anwar terlebih dulu.

“Sama ada senarai itu sahih atau tidak, Agong boleh panggil semua nama dalam senarai untuk semak betul atau tidak beri sokongan,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi yang mengasaskan jurisprudens watan juga yakin tidak akan ada pilihan raya umum dalam waktu terdekat kerana Yang di-Pertuan Agong pasti mempertimbangkan kesannya.

“Jika Anwar ada majoriti dan Muhyiddin menasihati Agong untuk bubarkan Parlimen, Agong pasti lihat kes Covid-19 yang kian meningkat dan nasihat untuk tumpu pulihkan negara.

“Kalau tukar kerajaan pun, belum tentu keadaan ekonomi bertambah baik.

“Jadi baginda ada budi bicara untuk panggil semua ahli Parlimen dan beri kata dua, sebaiknya ahli Parlimen duduk berbincang, buat satu perjanjian kekalkan kerajaan ini hingga habis penggal.

“Budi bicara Agong tentukan segalanya… proses pembuktian (majoriti) boleh dibuat tetapi putuskan segalanya ialah Agong,” jelas beliau, yang kini mengajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Anwar minggu lalu mengumumkan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan beliau kini ada majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Uji sokongan di Dewan Rakyat

Pensyarah politik di Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Azmil Tayeb pula berpendapat jika Anwar benar-benar dapat membuktikan beliau ada majoriti, Muhyiddin pasti akan meminta Agong membubarkan Parlimen atau Agong meminta Anwar membuktikan melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Muhyiddin boleh dipaksa berundur melalui undi tak percaya atau waktu kelulusan belanjawan nanti.

“Apa yang akan terjadi sama seperti di Sabah. Muhyiddin akan menasihati Agong untuk membubarkan parlimen dan pilihan raya baru akan diadakan.

“Pastinya beliau akan menyalahkan Anwar kerana memaksa PRU diadakan waktu pandemik,” katanya.

Bagaimanapun beliau menambah, tiada mana-mana pihak yang akan untung jika pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat.

“Pertama, kerana peratusan pengundi akan berkurang disebabkan oleh pandemik. Kedua, kerana pengundi sudah muak dengan permainan politik elit yang cuma mengejar kekuasaan.

“Tapi pendapat saya Anwar lebih berpeluang untuk menang berbanding Muhyddin, jika dia boleh mendapatkan sokongan Umno dan juga Pakatan Harapan,” katanya.

Pensyarah politik di Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat Anwar berdepan krisis kepercayaan jika gagal membuktikan beliau ada sokongan seperti yang didakwa.

“Anwar memperjudikan risiko politiknya. Kalau tak benar akan rosakkan reputasi beliau sebagai ahli politik veteran dan rakyat akan hilang kepercayaan.

“Reputasinya sebagai presiden PKR akan terjejas, malah imej PKR sendiri dan imej beliau sebagai ketua pembangkang juga akan terjejas.

“Dengan risiko yang perlu ditanggungnya itulah Anwar cuba buktikan dakwaannya benar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah politik Suffian Bujang percaya Yang di-Pertuan Agong mungkin akan memutuskan perkara ini dibawa ke Parlimen melalui undi tidak percaya.

“Saya percaya Agong akan keberatan untuk menasihati bubarkan Parlimen sekarang ini kerana keadaan tidak selamat dengan kes Covid-19 yang meningkat.

“Jadi Agong akan mengambil langkah yang bijak dengan menyarankan sokongan itu dibuat di Parlimen. Kalau mereka mempunyai jumlah sokongan yang kukuh jadi mereka kena yakinlah undi di Parlimen,” katanya.

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari bagaimanapun berkata Muhyiddin perlu melepaskan jawatannya jika betul Anwar ada sokongan yang cukup di Dewan Rakyat.

Beliau menolak pandangan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat perdana menteri kerana ia diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai pembubaran Parlimen, Aziz berkata ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Agong ada kata muktamad, bubar atau tidak. Kalau Agong tak bagi, perdana menteri kena letak jawatan. Konsepnya mudah,” katanya./     Oleh 
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan