Dr Noor Hisham ulang pihaknya tak tahu hal Khairuddin


DR Noor Hisham Abdullah mempertahankan bahawa pengurusan tertinggi kementeriannya tidak dimaklumkan mengenai kompaun ke atas Khairuddin Aman Razali dan pelanggaran perintah kuarantin dilakukan menteri itu.

Ketua pengarah kesihatan berkata demikian ketika ditanya dalam sidang media hari ini mengenai alasan Pejabat Peguam Negara untuk tidak mendakwa Khairuddin.

Dr Noor Hisham dalam jawapannya meminta wartawan merujuk kenyataannya pada 25 Ogos mengenai isu tersebut.

“Kenyataan saya itu masih kekal,” katanya dalam sidang media di Putrajaya. 

Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa Khairuddin kerana mendapati tidak cukup bukti untuk mendakwa ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Menurut Peguam Negara Idrus Harun, tiada arahan pemerhatian atau pengawasan di rumah dikeluarkan kepada Khairuddin sekembalinya menteri itu dari Iran pada 7 Julai.

Katanya, arahan itu sepatutnya dikeluarkan kepada menteri itu dalam bentuk Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh itu Khairuddin tidak melanggar perintah kuarantin kerana borang itu tidak pernah diserahkan kepada menteri sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah, kata Idrus.

Garis panduan itu mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dengan itu, tiada tindakan lanjut dikenakan ke atas menteri terbabit.

Jawapan Dr Noor Hisham pula tidak menjelaskan sebab borang 14b itu tidak dikeluarkan kepada Khairuddin dan kompaun itu dikeluarkan ke atas menteri berkenaan.

Ia merujuk kepada kompaun yang disebut Kementerian Kesihatan pada awal Ogos apabila isu Khairuddin mula dipersoalkan.

Menurut kementerian waktu itu, Khairuddin sudahpun menjelaskan kompaun berkenaan apabila dikenakan pada 7 Ogos – sebulan selepas Khairuddin kembali dari luar negara.

Khairuddin juga waktu itu meminta maaf kerana tidak menjalani kuarantin wajib dan turut mendermakan empat bulan gajinya sebagai tanda menyesali kesalahan tersebut.

Beliau bagaimanapun tetap menerima kecaman meluas kerana didakwa cuba menutup kesalahannya dan kerajaan juga dituduh pilih kasih dalam kes tersebut.

Ini memandangkan beberapa orang awam yang terbabit dalam kes melanggar perintah kuarantin wajib dikenakan hukuman lebih tinggi termasuk denda dan penjara
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan