Kerajaan perlu henti main politik, tumpu lawan Covid-19 di Sabah


Oleh Lim Kit Siang

 Kerajaan Perikatan Nasional perlu berhenti bermain politik dan menumpukan tenaganya untuk menyalurkan semua sumber yang untuk membantu melawan wabak Covid-19 di Sabah

Saya teringat kepada satu petikan Shakespear: “the lady doth protest too much” apabila membaca surat terbuka daripada mantan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, yang menafikan beliau bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Sabah dan Malaysia.

Saya akan katakan, yang jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa Aman.

Musa Aman merupakan Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, daripada tahun 2003 sehingga 2018, tetapi beliau telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah, sebuah negeri yang terkaya dengan hasil sumber di Malaysia, kekal sebagai negeri termiskin dalam negara, baik dari segi kadar kemiskinan dan juga pembangunan infrastruktur di negeri tersebut — sehinggakan berlakunya insiden di mana pelajar dari Pitas, Veveonah Mosibin, terpaksa meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik bagi membolehkan beliau menduduki peperiksaan atas talian!

Dalam tempoh selama 15 tahun beliau menjadi Ketua Menteri, Musa mempunyai lebih daripada cukup masa untuk memenuhi janji PRU 1994 yang dibuat oleh UMNO Sabah untuk sebuah Sabah Baharu.

Pertamanya, UMNO menjanjikan pada tahun 1994, untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah, daripada 33% pada tahun 1994 kepada sifar menjelang tahun 2000.

Sabah adalah salah satu negeri yang terkaya dengan hasil semula jadi, tetapi selepas lebih daripada setengah abad dalam Malaysia, rakyat Sabah kekal sebagai di antara yang termiskin di Malaysia, berada dalam kalangan negeri seperti Kelantan. Inilah bukanlah kemajuan, tetapi kemunduran.

Apakah yang telah dilakukan oleh Musa untuk memenuhi janji ini, walaupun tahun 2000 telah pun datang dan pergi?

Fakta yang menyedihkannya adalah sehingga hari ini, kadar sifar kemiskinan di Sabah ini kekal sebagai satu angan-angan kosong, memandangkan Sabah masih lagi tergolong dalam negeri yang termiskin dalam negara.

Kedua, UMNO telah berjanji untuk menghapuskan kadar buta huruf di Sabah kepada sifar menjelang tahun 2000. Tetapi, tahun 2000 telah datang dan pergi, begitu juga dengan tahun 2010, dan objektif ini masih lagi kekal sebagai angan-angan kosong.

Ketiga, UMNO berjanji untuk menhapuskan rasuah di Sabah. Ini adalah salah satu lagi angan-angan kosong. Malah, Sabah adalah salah satu negeri dengan masalah rasuah yang amat serius di mana para pemimpin politik yang korup kelihatan seakan-akan kebal dari pendakwaan.

Keempat, UMNO berjanji untuk memberikan setiap rakyat Sabah sebuah rumah menjelang tahun 2000. Berapa banyakkah rumah yang telah diberikan oleh Musa aman selama 15 tahun beliau menjadi Ketua Menteri?

Kelima, UMNO berjanji pada tahun 1994 untuk menyelesaikan masalah rumit pendatang asing tanpa izin di Sabah. Kini, 26 tahun selepas “Aku Janji” pertama ini, masalah pendatang asing tanpa izin kekal sebagai satu masalah yang rumit dan sukar diselesaikan. Sudah terdapat siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara ini, tetapi masalah ini kekal sukar diselesaikan juga.

Adakah kerajaan baharu Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor berikrar akan memenuhi janji yang dibuat 26 tahun lalu ini?

Saya telah katakan sebelum ini, dan saya berpegang dengan pendapat saya yang punca krisis Covid-19 di Malaysia ini adalah Langkah Sheraton pada bulan Februari lepas yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, menyebabkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19, sehingga mencatatkan 21,363 jangkitan dan mengorbankan 190 nyawa di seluruh negara setakat hari ini.

Mantan Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyalahkan Bersatu di atas gelombang ketiga ini pada minggu lepas. Beliau menulis, mengatakan yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menolak cadangan daripada Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) daripada UMNO, untuk melaksanakan kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang daripada Sabah sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri, dan menyalahkan Menteri Dalam Negeri Bersatu, Hamzah Zainudin kerana tidak mengasingkan banduan secara betul atau mematuji SOP yang telah menyebabkan berlakunya beberapa kluster jangkitan di pusat tahanan di Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

Najib mengadu, mengatakan: “Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengatakan yang penularan Covid-19 di dan dari Sabah telah tertangguh akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Apakah “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan” ini yang telah menyebabkan jumlah kes Covid-19 terkumpul di Sabah untuk melonjak daripada 426 kes dan lapan kematian pada 1 September kepada 8,082 kes dan 64 kematian setakat semalam?

Ini adalah satu peningkatan jangkitan yang mengejutkan di Sabah, lebih daripada 19 kali ganda, dan peningkatan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan — satu perkara yang amat mengejutkan, terutamanya memandangkan semasa negara kita mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac, jumlah kes terkumpul dalam negara hanya berada pada tahap 790 kes dan dua kematian!

Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab, yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?

Walaupun Sabah kini menjadi pusat penularan utama gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia (Selangor, negeri kedua, mencatatkan 3,357 jangkitan dan 25 kematian), Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terus sibuk dengan perebutan kuasa dan tidak menyalurkan semua sumber yang ada untuk membantu usaha memerangi Covid-19 di Sabah.

Saya seru kerajaan Perikatan Nasional untuk berhenti bermain politik dan menumpukan tenaganya ke arah menyalurkan semua sumber yang ada bagi melawan wabak Covid-19 di Sabah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan