Meneka dalam kesamaran 13 Oktober


 Oleh Arif Atan

Mendekati 13 Oktober, banyak pihak masih berteka-teki tentang apakah hasil pertemuan Anwar Ibrahim yang telah dijemput mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Tujuannya, seperti dijelaskan Anwar adalah untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan bagi menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Ketika ini, spekulasi utama yang terus berlegar-legar adalah tentang berapakah bilangan akuan sumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Hampir tiada sebarang klu atau petunjuk yang boleh dijadikan panduan.

Pada waktu yang sama, kegusaran lain terutama dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) adalah hasil pertemuan itu akan berakhir dengan berputih mata jika langkah diambil Anwar digagalkan sekali lagi.

Kegusaran demikian memang berasas. Ramai masih ingat bagaimana 16 September 2008 sebagai tarikh kesilapan Anwar sekaligus merencatkan agendanya untuk memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri.

Tetapi secara berwaspada, kali ini boleh dikatakan Anwar dilihat begitu tenang dan berhati-hati. Tiada lagi kenyataan demi kenyataan setiap hari bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai kepada proses peralihan kerajaan ini.

Sebaliknya, beliau lebih cenderung menghantar isyarat secara sindiran melalui perkongsian di laman media sosial dengan menyertakan gambar dan ‘caption’ sinis seperti menyusun buku di rak, menyapu sampah, mengait kelapa menggunakan galah dan memandu kereta lama Volkswagen.

Berdasarkan sidang media pada 23 September lalu, Anwar juga tidak memberikan angka yang jelas. Sebaliknya menyifatkan sokongan yang diperoleh adalah “strong, formidable and convincing”. Bilangan yang kukuh dan menghampiri dua pertiga majoriti. Bentuk pemerintahan pula, kata Anwar adalah pemerintahan yang bermajoriti Melayu Islam.

Tanpa maklumat yang jelas, pelbagai pihak mula membuat congakan untuk memastikan jumlah sokongan tersebut relevan dan masuk akal. Lim Guan Eng menyebut hampir mustahil tanpa sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Akan tetapi GPS lebih awal menafikan terlibat memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Setiausaha Agung, Alexander Nanta Linggi, sebaliknya menegaskan gabungan tersebut masih teguh dengan Perikatan Nasional (PN).

Hanya Umno yang kelihatan agak berbelah bahagi ketika mengulas pengumuman Anwar. Perbezaan pandangan itu pula diwakili antara Ahmad Zahid Hamidi di satu pihak manakala Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Annuar Musa di pihak lain.

Zahid yang juga Presiden Umno, secara berterus terang mengakui memang wujud sokongan dalam kalangan ahli Parlimen parti itu dan Barisan Nasional (BN) kepada Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Beliau mengambil sikap berlepas tangan apabila berkata tidak akan menghalang mana-mana ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Anwar. Hal ini demikian kerana BN bukan sebahagian komponen Perikatan Nasional (PN) dan oleh yang demikian, mereka tidak terikat untuk kekal menyokong Muhyiddin.

Sebaliknya, Annuar dalam reaksi awalnya menggesa agar Parlimen dibubarkan untuk memberikan peluang kepada rakyat memilih kerajaan baharu. Kemudian dalam reaksi susulan, Annuar mendesak Anwar agar mendedahkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pas pula menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menegaskan semua ahli Parlimen parti itu menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin. Malah, seperti biasa Pas dengan mudah melabel tindakan Anwar sebagai terdesak dan cuba menangguk di air keruh tatkala pandemik Covid-19 kembali meningkat.

Memang jika diteliti kenyataan daripada ahli Parlimen yang berseteru politik dengan Anwar dan PH, hampir tidak ada yang mengakui secara terbuka menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Hampir setiap hari terdapat laporan media yang menyiarkan penafian daripada ahli Parlimen yang disyaki terlibat malah ada yang bertindak membuat laporan polis.

Hanya tinggal AMANAH dan DAP sahaja yang mengeluarkan kenyataan rasmi secara bulat menyokong Anwar Ibrahim. Walaupun menyokong Anwar tetapi Lim Guan Eng pula mengingatkan kerajaan baharu itu harus teguh dengan prinsip dengan tidak melibatkan ahli Parlimen Umno yang terlibat dengan kes-kes di mahkamah.

Penulis juga melalui sumber dalaman yang agak boleh dipercayai cuba mengorek angka ahli Parlimen yang terlibat menyokong Anwar. Malangnya kali ini begitu sukar malah difahamkan dalam kalangan pimpinan atasan PKR sendiri tidak mempunyai maklumat jelas berkenaan bilangan tersebut.

Jika pimpinan PKR pun masih berteka-teki sesama sendiri, sudah pasti pimpinan PH lebih tipis untuk memperoleh maklumat berkenaan. Hal ini diakui sendiri oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Sukar untuk dipastikan sama ada kesamaran maklumat tersebut memang benar-benar berlaku atau sekadar helah untuk mengelakkan strategi daripada terpesong. Tetapi apa yang pasti, kali ini pepatah ‘biar pecah di perut jangan pecah di mulut benar-benar diamalkan’.

Hanya yang tinggal dan berlegar di media sosial adalah senarai penuh yang diterbitkan sebuah laman portal berita. Tetapi berdasarkan kepada bentuk laporan secara umum, portal itu pun tiada wibawa untuk dijadikan rujukan.

Tetapi memang dalam sembang-sembang politik, celik maklumat dan kredibiliti rujukan tidak penting, apa yang dimahukan adalah modal untuk memanjangkan perbincangan. Itulah yang berlaku sehingga portal rasmi Pas, Harakahdaily pun turut mengulas langkah Anwar berdasarkan senarai tidak sahih itu.

Justeru, disebabkan langkah baharu Anwar ini dilihat begitu super-sulit dan mungkin ‘lone ranger’, maka tidak hairanlah apabila pada sidang media pada 23 September lalu hanya menampilkan Wan Azizah dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sahaja di atas pentas.

Sesetengah pihak menganggap sidang media itu permulaan yang menunjukkan Anwar bersikap unilateral tanpa kehadiran pimpinan utama PH yang lain.

Tetapi harus diingatkan, tatkala PH dijatuhkan oleh pengkhianatan Langkah Sheraton, dalam kalangan gabungan politik ini juga tidak muktamad dalam menyatakan calon Perdana Menteri baharu jika Muhyiddin boleh ditumbangkan semula.

Tun Dr Mahathir Mohamad masih dilihat calon Perdana Menteri walaupun beliaulah punca kerajaan PH jatuh. Kemudian wujud cadangan supaya Shafie Apdal yang pekat beridentiti ‘Sabahan’ pula dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Kenyataan ini diulangi oleh Lim Guan Eng semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung pada September lalu.

Walaupun apa yang diketengahkan itu hanyalah beberapa opsyen, tetapi sebagai manusia biasa, sudah pasti Anwar berhak untuk berkecil hati dan terasa diketepikan. Tambahan pula kedua-dua calon tersebut tidak pula merupakan sebahagian komponen PH. Maka opsyen itu sahaja sudah cukup mencalarkan maruah dan imej Anwar sebagai pemimpin utama PH.

Memang tidak dinafikan, setiakawan masih wujud dalam kalangan pimpinan PH, tetapi seperti ditegaskan oleh Husam Musa, setiakawan harus bergerak seragam dengan setiajasa. Maka, jika kesepakatan tersebut hampir tidak kelihatan, adakah salah jika Anwar mengambil keputusan untuk bertindak sendirian?

Tetapi jika benar 13 Oktober akan menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri, apakah pula bentuk barisan kabinet baharu yang akan dibentuk? Jika beliau menyebut pemerintahan majoriti Melayu Islam, adakah Umno dan BN akan diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri? Adakah hal ini akan direstui oleh komponen PH?

Begitu banyak persoalan yang terus menuntut penjelasan tetapi sehingga kini ramai pihak masih meneka dalam kesamaran.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan