Pendirian Biro Politik Umno kata dua buat PAS, dakwa Kadir

 


Wartawan veteran, A Kadir Jasin, menyifatkan pendirian terkini Umno seperti yang dinyatakan malam tadi secara tidak langsung turut memberi kata dua kepada rakan parti itu, PAS.

Kata A Kadir penegasan dibuat Umno itu boleh dibaca sebagai mahu menguji pendirian PAS yang berkali-kali mengulangi sikap mereka mahu kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin Yassin.

"Dengan cadangan menyegerakan pendaftaran MN (Muafakat Nasional) itu, Biro Politik Umno secara tidak langsung memberi kata dua kepada PAS sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Semalam, Biro Politik Umno berkata parti itu sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan pada masa sama mencadangkan agar MN segera didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Hal itu dinyatakan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang ditemui media selepas menghadiri mesyuarat biro politik parti itu di Kuala Lumpur. 

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

MN pula merupakan gagasan kerjasama rasmi antara PAS dan Umno sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.

A Kadir berkata langkah Biro Politik Umno menghebahkan keputusan mereka sebelum mendapat pengesahan daripada majlis tertinggi (MT) parti itu juga membayangkan kemungkinan mereka mengalami masalah dalaman.

“Boleh jadi jika (keputusan tersebut) dibawa kepada MT akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam kerajaan PN,” katanya lagi, merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Tidak ketinggalan, A Kadir menambah, kenyataan Biro Politik Umno itu juga menggambarkan bahawa PN sememangnya telah hilang majoriti dan seolah-olah telur di hujung tanduk.

Tanduk itu pula digambarkan bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad itu sebagai milik seekor kerbau jantan yang akan berlaga.

“Secara langsung ia memberi kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan pihak-pihak lain bahawa Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti," katanya.

Menurut A Kadir dakwaan Muhyiddin itu juga hanya bersifat teori dan tekaan malah tidak pernah diuji di Dewan Rakyat.

“Dengan penarikan balik sokong Umno ini, kedudukan kerajaan PN semakin tidak menentu,” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan