Siapa MP Umno yang sokong Anwar selepas 17 MP tampil nafi?

 


Oleh FAZLI RADZI

Difahamkan lebih daripada 15 Ahli Parlimen (MP) bakal bertukar ‘angin’ mengetepikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Sekurang-kurangnya 11 daripada 15 MP itu dikatakan dari Umno iaitu parti Melayu-Islam terbesar yang kini mempunyai 39 MP.

Mereka antara yang belum membuat kenyataan media atau laporan polis setakat hari ini menafikan sokongan kepada Presiden PKR itu.

“Umno ada 39 MP. Yang tak nafi akan ikut Anwar pun lebih 15 MP,” kata sumber dari PKR kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, satu sumber lagi memberitahu jumlah keseluruhan MP yang menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu mungkin lebih daripada 121 MP.

Esok Anwar bakal mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu pada 23 September lalu mendakwa mempunyai jumlah kerusi yang “kukuh dan meyakinkan.”

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen parti itu mengambil keputusan menyokong Anwar.

Walau bagaimanapun, seorang demi seorang MP Umno menafikan pernah menandatangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.

Mereka antara yang terdapat dalam senarai 19 nama yang tular di media sosial kononnya berpihak kepada Anwar.

Sehingga hari ini sekurang-kurangnya 17 MP Umno secara terbuka menolak dakwaan antara 121 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Berikut adalah senarai Ahli Parlimen Umno terbabit:

1. Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau)
2. Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap)
3. Datuk Hasbullah Osman (Gerik)
4. Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit)
5. Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak)
6. Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang)
7. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)
8. Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu)
9. Datuk Salim Shariff (Jempol)
10. Datuk Ahmad Maslan (Pontian)
11. Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands)
12. Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)
13. Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin)
14. Datuk Seri Idris Jusoh (Besut)
15. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)
16. Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan)
17. Datuk Mohamad Alamin (Kimanis)

Sementara itu, dua lagi MP Umno yang kini menghadapi tuduhan rasuah masih belum secara terbuka menafikan sokongan kepada Anwar iaitu Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengesahkan tidak ada mana-mana MP Umno memberi sokongan kepada Anwar.

Ketua Umno Bahagian Padang Rengas tersebut mendakwa sudah menghubungi semua MP Umno yang tidak berada dalam kerajaan termasuk Zahid Hamidi.

“Tidak ada seorang pun yang mengaku memberi sokongan kepada Anwar,” dipetik Astro Awani.

Nazri sebelum ini disebut-sebut sebagai MP Umno yang akan menyokong Anwar memandangkan pernah ada kecenderungan demikian ketika era pentadbiran kerajaan PH.

Bagaimanapun, Nazri mendakwa sokongan serius kepada Anwar dan PKR itu sebagai satu jalan untuk mengembalikan Umno sebagai kerajaan.

Malah, beliau kemudiannya menyokong Anwar yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dua tahun lalu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Komen