Umno pertimbang tarik diri daripada PN


KUALA LUMPUR: Umno pertimbang menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menetapkan syarat baharu kepada kerajaan dalam meneruskan kerjasama politik, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Umno turut akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya gabungan itu didaftar segera sebagai gabungan politik yang sah.

“Umno akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Umno berpandangan kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan yang Umno lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini.

Mesyuarat itu dihadiri pengerusi perhubungan Umno negeri dan ahli jawatankuasa pengurusan Umno yang dipengerusikan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Ahmad berkata Zahid akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 5 petang Khamis ini.

Beliau berkata, syarat baharu Umno akan dikemukakan esok dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Namun, Ahmad tidak memperincikan pertemuan parti itu dengan Muhyiddin esok.

Beliau turut berkata, keputusan Umno hari ini sebulat suara disokong 13 pengerusi perhubungan Umno.

“Perbincangan tak tegang dan berjalan dengan harmoni,” katanya.

Ahmad juga tidak menjawab ketika ditanya keputusan Umno malam ini menandakan parti itu menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pagi tadi Anwar menghadap Agong bagi mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Ia susulan sidang medianya pada 23 September lalu yang mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, beberapa parti dalam kerajaan PN menafikan mereka menyokong Anwar, walaupun Zahid mengakui ramai ahli Parlimen parti itu memberi sokongan kepada ahli Parlimen Port Dickson itu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan