'Bonus Covid-19' kepada penjawat awam Sarawak cetus kemarahan


BAYARAN insentif khas kerajaan Sarawak kepada penjawat awam negeri yang “bekerja tanpa kenal erti lelah melindungi rakyat” daripada Covid-19 telah mendapat pelbagai reaksi daripada mereka yang berada di luar perkhidmatan itu.

Ketua Menteri Abang Johari Openg mengumumkan pembayaran satu setengah bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 untuk penjawat awam negeri dan RM500 kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan persekutuan, di sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 November lalu.

Abang Johari berkata “banyak anggota perkhidmatan awam lain yang bekerja di belakang tabir, jauh daripada pandangan awam, tetapi bekerja dengan tekun di tempat kerja masing-masing”.

Ketua menteri itu menambah golongan itu “mempertaruhkan keselamatan mereka dan mengorbankan keselesaan mereka”.

Bagaimanapun, Presiden Dayak National Congress (DNC) Paul Raja berkata kerajaan negeri tidak mengikut keutamaan ketika ini.

Raja berkata, rakyat Sarawak di sektor swasta ketika ini bimbang mengenai pekerjaan dan gaji mereka.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sepatutnya meneliti perkara ini. Mereka perlu menyalurkan lebih banyak bantuan kewangan bagi memastikan industri berjalan lancar dan memastikan pekerjaan selamat, bukan memberi bonus kepada pegawai negeri yang tidak dibebani dengan isu ketakutan hilang kerja atau gaji berkurang, bahkan kehilangan pekerjaan.

“Sektor yang paling teruk dilanda masalah ini adalah sektor swasta. Ramai yang hilang pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan.

“Sektor awam terjejas pada kadar minimum kerana mereka masih mempunyai pekerjaan dan masih mendapat gaji.

“Siapa yang kerajaan nak bantu? Mereka yang mempunyai pekerjaan yang selamat dan masih mendapat gaji sementara orang yang hilang pekerjaan tidak diendahkan,” katanya.

Raja menambah, kerajaan harus mengenal pasti keperluan rakyat.
 
Beliau mendakwa kerajaan negeri hanya “menjaga” pegawai kerajaan untuk lindungi “bank undi mereka”.

“Sektor awam yang patuh akan mengundi mereka setiap kali pilihan raya.”

Peguam dan ahli politik, Abun Sui Anyit bersetuju dengan penilaian Raja mengenai keutamaan kerajaan negeri ketika pandemik.

“Wang itu seharusnya disalur untuk bantu syarikat yang tenat. Ia seperti memasukkan minyak ke dalam mesin.

“Anda perlu lancarkan ekonomi. Jerman lakukan hal ini dengan bantu sektor swasta sehingga 70%, menjadikan perniagaan di negara itu tidak runtuh,” kata Abun.

Ada lagi yang perlu bantuan

Seorang pengusaha pelancongan berkata beliau setuju jika bonus diberi kepada penjawat awam yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan, seperti anggota polis yang menjaga sekatan jalan raya dan kakitangan di hospital kerajaan.

“Saya tiada masalah, tetapi tidak setuju jika diberi kepada penjawat awam yang bekerja dari rumah,” katanya, yang mahu namanya dirahsiakan.

Pengusaha itu berkata selain menerima gaji penuh dan tiada risiko diberhentikan kerja, penjawat awam menerima banyak bantuan kerajaan pusat seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Di Sarawak, kalau mereka tergolong dalam kumpulan B40 mereka juga layak terima Bantuan Sarawakku Sayang.

“Sektor swasta pula, terutamanya dalam sektor pelancongan kini sedang bergelut dengan kesan Covid-19. Ada yang terpaksa tutup perniagaan,” kata pengusaha itu lagi, merujuk kepada kesan penutupan sempadan, sekatan perjalanan dan waktu operasi perniagaan yang pendek untuk membendung wabak Covid-19.

Beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri yang enggan memberi bayaran sekali beri (one-off) RM1,500 kepada 500 pemandu pelancong di Sarawak, tetapi boleh pula memberi bonus sekurang-kurangnya RM2,000 kepada penjawat awam.

“Tak ramai pun, cuma 500 orang, itu pun kerajaan negeri tak mahu beri RM1,500.”

Bagi Ketua Pemuda PKR Sarawak Sam Saiful Nizam, bayaran bonus tersebut sepatutnya diberi hanya untuk petugas barisan hadapan dan penjawat awam berpangkat rendah di bawah gred tertentu, bukan pegawai berpangkat tinggi dan bergaji besar.

Malah kerajaan negeri sepatutnya memotong gaji, elaun dan bonus semua menteri negeri dan pegawai kanan, termasuk pengurus kanan entiti kerajaan.

Dengan itu, wang tersebut dapat disalurkan kepada golongan rentan dan terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Perniagaan mikro, kecil dan sederhana juga memerlukan bantuan untuk mengelakkan pemberhentian kerja,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan