Nasruddin kena kecam selepas dakwa musuh Islam tidak boleh tidur lena

  Oleh FAZLI RADZI 

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan dilihat mengundang kecaman orang ramai apabila membangkitkan isu penyatuan umat Islam ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam kedudukan goyah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu mendakwa musuh Islam tidak boleh tidur lena dengan adanya penyatuan umat Islam.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam, dia juga menganggap musuh-musuh Islam sentiasa berterusan menghalang penyatuan umat Islam.

“Perkara yang buat musuh Islam tidak boleh tidur lena ialah penyatuan umat Islam.

“Justeru itu, mereka habis-habisan berusaha dari pelbagai sudut untuk memecahkan umat Islam,” katanya dengan ungkapan “penyatuan umat Islam” ditulis dalam kesemuanya huruf besar.

Dalam tempoh kurang 24 jam, kenyataan Nasruddin itu menerima lebih 4,000 tanda emoji, 1,000 komentar dengan lebih 240 perkongsian daripada warganet.

Bagaimanapun, rata-rata reaksi yang diterima bekas Ahli Parlimen Temerloh itu bersifat kecaman dan lebih bernada sindiran.

“Yang tak boleh tidur Muhyiddin dan geng-geng tebuk atap sebab tiada sokongan majoriti dalam Parlimen. Faham lebai?” tempelak Wfauzdin Ns.

Sementara itu, Mariam Abdul Rashid menyoal, “Bukankah dulu kita yang kata Umno tu musuh Islam. Mereka ada sekular, perlembagaan sekular.. .”

Tidak kurang juga komentar yang mengungkit kembali apa yang kononnya diperjuangkan Pas ketika berada di pihak pembangkang sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan ketika Pakatan Harapan (PH) menduduki Putrajaya tetapi kemudiannya ‘ghaib’ apabila berada dalam kerajaan.

Antaranya, isu Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di perkarangan sebuah kuil haram pada 17 Disember 2018.

“Hudud entah ke mana, (anggota bomba) Adib kes tidak selesai. Sedap masing-masing pulun GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” kata Wan Abdul Rahim.

Bagi pengguna Facebook, Faiz Ismail pula, beliau secara menyindir bersetuju dengan seruan penyatuan umat Islam seperti dicanangkan Nasruddin.

“Setuju, jangan masa kita ada kuasa saja, baru nak fikir perpaduan. Bila tiada kuasa, fitnah sana sini, hasut menghasut, kapior mengkapior (kafir mengkafir),” sinisnya.

Terdapat juga pandangan yang mengingatkan seruan pemimpin Pas itu hanya meneruskan sentimen agama ketika kuasa politik mereka terbabit sedang terancam.

Hal ini memandangkan wujud perbezaan jelas antara perpaduan parti politik dengan perpaduan umat Islam.

“Nak buat perpaduan umat Islam bukan hanya Pas dengan Umno dan PPBM tapi dengan PKR, AMANAH.

“Itu baru perpaduan umat Islam. Yang ada sekarang perpaduan parti politik,” tegas Mohd Sazmani Samat.

Catatan Nasruddin itu muncul ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada dalam kedudukan goyah dan serba tidak kena ditambah dengan krisis kesihatan akibat Covid-19.

Selain mempunyai sokongan majoriti yang kecil, parti-parti gabungan PN juga dilihat saling tidak sefahaman dan mencurigai antara satu sama lain.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan