Tengku Maimun wanita tahan diuji, penuh integriti


OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Nama YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat menjadi perhatian ramai dalam kes rayuan Dato’ Sri Najib Tun Razak. Sewaktu Dato’ Sri Najib kalah di peringkat Mahkamah Tinggi, beliau menyatakan bahawa beliau tidak risau dengan rayuan yang beliau buat kerana percaya bahawa beliau akan dapat memberikan rayuan yang terbaik terhadap Mahkamah di peringkat rayuan.

Namun, perspektif itu telah bertukar di saat Dato’ Sri Najib kalah di Mahkamah Rayuan khasnya beliau telah dipanggil ‘National Embarassment’ oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan. Apabila rayuan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan, Dato’ Sri Najib semakin terbuku hati dengan pihak mahkamah setelah Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid tidak bersetuju dengan permohonan Dato’ Sri Najib untuk perlantikan barrister England, Jonathan Laidlaw.

Setelah itu, Dato’ Sri Najib telah memohon untuk bertukar peguam daripada Tan Sri Shafee kemudiannya Datuk Zaid Ibrahim bersama Hisyam Teh Poh Teik dan TH Liew. Setelah itu, Zaid Ibrahim dan TH Liew telah dipecat (atau menarik diri), Shafee kembali menjadi peguam di hari terakhir prosiding. Kemudian, tiba-tiba muncul pula peguam baharu yang lain iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. Kesemua ini dibuat dalam usaha untuk mendapatkan penangguhan daripada Mahkamah.

Namun, Tengku Maimun sebagai ketua panel yang menghakimi Dato’ Sri Najib telah menolak permohonan untuk penangguhan tersebut. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati Dato’ Sri Najib dan para penyokongnya.

Di sinilah timbulkan pelbagai tohmahan baharu kepada Tengku Maimun untuk mencemarkan nama baik beliau. Bahkan, Dato’ Seri Najib telah memfailkan satu permohonan rasmi untuk menyingkirkan Tengku Maimun sebagai hakim dan antara alasannya adalah bahawa suami Tengku Maimun iaitu Dato’ Zamani Ibrahim telah mempengaruhi Tengku Maimun memandangkan Dato’ Zamani Ibrahim pernah menulis dalam facebook peribadinya bahawa beliau gembira dengan kejatuhan Dato’ Sri Najib pada tahun 2018. Bayangkan betapa terdesaknya Dato’ Sri Najib sehingga menggali semula cicipan tahun 2018 semata-mata untuk menyingkirkan Tengku Maimun.

Di sinilah kita dapat melihat betapa Tengku Maimun ini adalah seorang wanita yang tahan diuji dan penuh integriti. Walaupun bertalu-talu permohonan dimasukkan sehingga proses rayuan ini sudah kelihatan seperti sarkas politik namun kekentalan jiwa Tengku Maimun ini sangat menyerlah.

Kata-kata spontan Tengku Maimun apabila Shafee memohon penangguhan adalah amat sinikal dan membekas. Ketika Shafee menyatakan kepada Mahkamah, “Saya hanya diberitahu untuk hadir dalam tempoh 2 jam lepas…Malah saya pun tidak memakai pakaian yang sempurna untuk hadir pada hari ini. Saya bergegas ke sini dari Parlimen yang mana saya mempengerusikan satu simposium. Saya hanya ingin menjelaskan kedudukan perlantikannya dan bahawa saya hanya ingin mengenepikan persepsi bahawa saya ingin menangguhkan kes. Klien saya telah diletakkan dalam kedudukan di mana beliau telah diwakili oleh peguam yang tidak mahir khasnya peguam dari Singapura yang langsung tidak berpengetahuan dalam undang-undang jenayah”

Tengku Maimun dengan pantas telah menyekat Tan Sri Shafee daripada terus bersuara dan bertanya, “Kenapakah kita perlu mengulang sejarah ini (Why do we need to go through this history?)

Shafee menyatakan : “Saya fikir kita perlu mengetahui sejarah ini supaya kita tidak pergi jauh.. (I thought we need to know the history so we don’t harbour….) kemudian Tengku Maimun terus memotong cakap Tan Sri Shafee dan berkata: Tak perlu ( No need.)

Tan Sri Shafee kemudian berhujah mengenai integriti badan kehakiman yang dipersoalkan dan beliau akan datang untuk berhujah keesokan hari. Beliau menyatakan bahawa saya dilantik untuk berhujah atas poin ini sahaja (“I am not being engaged for anything else… just this,”)

Tengku Maimun bertanyakan sama ada Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mempunyai bantahan. Pendakwa Raya menyatakan bahawa semua peguam yang datang ke Mahkamah harus bersedia dan tiada sebab penangguhan perlu diberikan. Ini pun bukannya permohonan kali pertama dikemukakan dan mereka pernah mengemukakan permohonan yang sama sebelum ini dan saya nyatakan bantahan keras saya terhadap sebarang permohonan penangguhan.

Selepas itu Tengku Maimun mengarahkan Hisyam Teh Poh Teik untuk meneruskan penghujahan tetapi tiba-tiba Shafee telah bangkit dan menyatakan bahawa beliau akan kembali semula ke Mahkamah esok hari.Tengku Maimun wanita tahan diuji, penuh integriti

Tengku Maimun menyatakan tiada sebab untuk Shafee berbuat demikian. Jikalau kes ini selesai pada hari ini maka tiada keperluan untuk sesiapa kembali semula besok hari ke Mahkamah (If this is completed today, there is no reason for anybody to be here tomorrow morning) dan kemudiannya Shafee kelihatan meninggalkan Mahkamah.
https://www.nst.com.my/…/najibs-src-appeal-shafees…

Usaha untuk menjatuhkan reputasi Tengku Maimun ini tidak berakhir dengan cara yang bersih (iaitu permohonan secara rasmi untuk penyingkiran Tengku Maimun) bahkan ketika prosiding hampir berakhir tiba-tiba bocor pula draf alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan berkaitan kes ini dalam laman web Malaysia Today.

Tindakan ini sangat menjengkelkan semua orang. Bagaimana terdesaknya penyokong Dato’ Sri Najib sehingga berusaha mendapatkan dokumen sulit ini. Bahkan, ini juga mendedahkan betapa ada pihak dalaman dalam Istana Kehakiman yang bersekongkol dengan penyangak dan pengkhianat sehingga Ketua Pendaftar telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa wujud kebocoran dan satu laporan polis telah difailkan.

Ini juga menunjukkan bahawa kesulitan kerajaan PH untuk memerintah dahulu kerana wujudnya ‘deep state’ (daulah terpendam) dalam kerajaan sendiri. Manusia (penjawat awam) seperti ini harus diperangi sehingga ke akarnya.

Lainlah kalau penjawat awam itu mendedahkan penyelewengan orang politik. Ini dokumen berkaitan kes besar yang akan diputuskan secara kehakiman bocor tentulah akan memalukan institusi kehakiman tetapi tidaklah akan menggugat keutuhan sistem. Ini juga satu langkah berani Tengku Maimun apabila beliau mengakui kebocoran itu berlaku dan mengambil tindakan betul apabila membuat laporan polis dan membuat siasatan dalaman.

Pelantikan Tengku Maimun tidak datang tanpa sebarang kontroversi.

Menurut catatan Tommy Thomas, bekas Peguam Negara dalam bukunya, My Story: Justice In The Wilderness (m/s 342) menyatakan beliau pernah berbincang perlantikan 4 jawatan penting iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak kerana jawatan-jawatan itu akan kosong dalam tempoh setahun.

Tommy menyatakan bahawa seniority bukanlah keutamaan dalam perlantikan mereka. Tulis Tommy lagi bahawa kriteria perlantikan adalah integriti, kompetensi, kawalan emosi dan baran (temperament), bebas (independence) dan rekod jejak yang telah terbukti (proven track record) dalam menulis alasan penghakiman. Sebagai Ketua Hakim bagi Mahkamah yang tertinggi, Ketua Hakim perlu mengetuai perkembangan undang-undang. Ketua Hakim juga mestilah sentiasa bertindak proaktif untuk melindungi undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, pengetahuan calon Ketua Hakim berkaitan undang-undang perlembagaan sangatlah penting.

Tommy selanjutnya menyatakan adalah dipersetujui bahawa hanya seorang calon sahaja yang mempunyai kriteria yang dinyatakan itu iaitu Tengku Maimun. Tommy telah berkongsi pengalaman dengan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu mengenai pengalamannya datang ke Mahkamah ketika Tengku Maimun menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Setelah itu, Tommy mengemukakan nama Rohana Yusof sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Dato Abang Iskandar Abang Hashim sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Tan Sri Dato’ Azahar Mohamed sebagai Hakim Besar Malaya.

Tun Mahathir sangat gembira dengan perlantikan dua orang wanita sebagai orang utama dalam sistem kehakiman, bahkan Tun turut berjenaka bahawa malahan orang PAS juga tidak akan membuat bantahan. Tommy menyatakan bahawa Tengku Maimun bukan sahaja menjadi Ketua Hakim wanita yang pertama bagi Malaysia bahkan mungkin di seluruh dunia. Begitu juga, belum pernah ada dalam sejarah dunia yang mana dua jawatan teratas dalam kehakiman dipegang oleh wanita.

Akhirnya nama itu telah dipersetujui dan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. Apabila nama Tengku Maimun diisytiharkan, semua pihak menyambut baik perlantikan beliau pada April 2019 dan beliau mempunyai tempoh selama 5 tahun untuk berkhidmat. Upacara angkat sumpah telah diadakan pada waktu malam di Istana Negara dengan kehadiran Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan setelah itu YDPA telah membuat jamuan minum kopi.

Setelah itu Tommy telah membuat lawatan hormat ke atas Tengku Maimun dan menyebut nama-nama yang akan dilantik dan Tengku Maimun menyatakan bahawa beliau boleh bekerjasama dengan kesemua nama-nama itu.

Kini, terbukti bahawa Tengku Maimun bukan calang-calang orang dan pemilihan yang dibuat untuk melantiknya adalah berdasarkan merit yang betul. Perlantikannya bukan dibuat atas sebab kabel atau hubungan rapat mengampu dengan Perdana Menteri. Sebab itulah kita perlu membersihkan negara ini daripada elemen-elemen kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa. Institusi-institusi penting negara harus dipelihara daripada elemen-elemen ini.

Tengku Maimun juga membuktikan bahawa golongan wanita mampu memimpin satu institusi besar dalam negara. Begitu juga, bagaimana tindakan pantas Tengku Maimun mengeluarkan alasan penghakiman bertulis sekurang-kurangnya untuk dua permohonan Dato’ Sri Najib yang ditolak menunjukkan penamaan Tengku Maimun oleh Tommy menunjukkan kompetensi yang diharapkan. Selain itu, kawalan emosi dan baran (temperament) Tengku Maimun semasa mengendalikan kes di hadapan peguam senior seperti Hisyam Teh Poh Teik, Zaid Ibrahim, TH Liew, Shafee dan Firoz patut dicontohi. Beliau tidak mengeluarkan perkataan dan bahasa maki hamun atau merendahkan peguam sebaliknya menggunakan kaedah corum dan decorum yang sangat tinggi.

Begitu juga cara Tengku Maimun mengendalikan isu kebocoran draf alasan penghakiman sangat berkelas kerana pihak kehakiman tidak menafikan hal kebocoran itu bahkan mengakuinya. Tetapi dalam pada itu bertindak untuk membuat siasatan dalaman dan membuat laporan polis terhadap hal sebegitu. Barangkali itulah sebabnya, Tengku Maimun berniat untuk memuktamadkan prosiding kes sebaik sahaja selesai peguam berhujah untuk mengelakkan anasir-anasir liar ini daripada terus mempermainkan institusi Mahkamah.

Justeru, kita berharap semoga para hakim dapat mengekalkan sikap terpuji dalam institusi kehakiman iaitu sikap integriti, kompetensi, kawalan emosi dan baran, bebas dan rajin menulis alasan penghakiman.

Terima kasih pengundi dan rakyat Malaysia yang membuat perubahan kepimpinan negara dalam dalam PRU 14 sehingga memungkinkan berlaku perubahan dalam sistem. Perubahan ini adalah satu aspirasi rakyat negara ini. Memililh untuk menjadi pengikut setia (walaun) kepada pemimpin tidaklah sehingga membutakan hati dan mata kita terhadap pentadbiran yang tidak kompeten.

Ada pihak yang menyatakan bahawa pemimpin partinya tidak pernah ditangkap SPRM tetapi pernahkah orang itu bertanyakan sama ada pemimpinnya adalah kompeten atau lemah dalam berfikir dan merancang.Sikap amanah sahaja tidak akan membantu kemajuan negara tanpa pemimpin itu sendiri mempunyai wawasan dan pemikiran terkehadapan. Marilah kita membina negara ini atas landasan yang benar tanpa mengira kaum, ras, agama atau gender. Kita bina negara ini atas landasan merit dan kompentensi setiap rakyat.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan