AJK Dewan Ulama Pas negeri keluar parti


SEREMBAN - Krisis dalaman yang berpanjangan di kawasan Dun Sikamat menjadi antara faktor calon Pas PRU14 Dun Chembong, Rosmin Adam bertindak keluar parti berkuat kuasa Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas Negeri Sembilan, AJK Lajnah Ekonomi Negeri dan AJK Lajnah dan Perkaderan ketika dihubungi  mengesahkan perkara itu.

Katanya, keputusan dibuat ekoran rasa kecewa terhadap sebahagian kepimpinan dan rakan dalam parti itu yang dilihat agak ekstrem.

“Saya tiada masalah dengan Pas dan kepimpinan negeri serta mula bersama dengan parti ini sejak tahun 1997.

“Cuma saya kecewa kerana krisis dalaman yang berlaku di kawasan Dun Sikamat masih berlarutan sehingga kini walaupun saya dah maklumkan pada kepimpinan untuk selesaikannya.

“Malah, saya juga difitnah dan dituduh sebagai pengkhianat parti. Bagi saya ia sangat keterlaluan dan sepatutnya tidak berlaku,” katanya

Dalam pada itu, beliau mendakwa, ada sebahagian daripada kepimpinan yang menunjukkan rasa kurang senang dan mempertikaikan mana-mana ahli yang dilihat bergaul atau menghadiri majlis jamuan raya dianjurkan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Menurutnya, mereka perlu memperbetulkan persepsi berkenaan kerana ia tidak mencerminkan Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Walaupun berlainan parti tapi kita tetap saudara sesama Islam dan konsep ukhuwah itu perlu diutamakan.

“Tapi bila kita dilihat bergambar dengan pihak parti lawan, dituduh pula pengkhianat sedangkan itu tidak diajar dalam Pas.

“Keadaan sebegini menjauhkan lagi Pas dengan masyarakat khususnya orang muda,” katanya.

Ditanya adakah keputusan itu diambil disebabkan kemenangan Harapan pada PRU14, Rosmin berkata, ia tiada kaitan kerana masalah dalaman dihadapinya sudah lama.

“Kalau cakap saya dapat habuan atau apa-apa, itu persepsi orang kerana ada yang mahu ambil kesempatan begitu.

“Tapi saya tiada apa-apa, cuma kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.
Maklum keputusan Rosmin

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun berkata, beliau maklum dengan keputusan Rosmin itu menerusi surat yang dihantar melalui WhatsApp.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana masih belum berjumpa dengan Rosmin bagi mendapatkan penjelasannya mengenai itu.

Malah beliau juga menafikan dakwaan parti itu mengeluarkan arahan tidak membenarkan ahli  menghadiri majlis jamuan raya anjuran Harapan atau bergaul dengan rakan-rakan dari parti lawan.
“Arahan khusus itu tiada tapi pandai-pandailah dan terpulang pada ahli. Jika keadaan itu boleh mengundang fitnah, nilailah sendiri.

“Mengenai masalah dalaman yang dihadapi Rosmin, bagi saya ia lebih kepada masalah peribadi dan takkanlah disebabkan itu dia nak keluar Pas pula,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan