Jika tidak mengenali siapa Sasqia Dahuri, pasti anda akan menganggapnya seorang yang sombong kerana raut wajahnya.

Yang pasti, sikapnya jelas bertentangan dengan persepsi awal.

Sering kali dia menuturkan frasa terima kasih, bukan sahaja kepada media yang selama ini membantunya malah untuk peminat yang tanpa lelah menyokong kerjaya seninya.

Berlandaskan itu, dia tidak mahu dibayangi populariti dan melupakan akar umbi sebagai pelakon. Baginya, berlakon bukan untuk mengejar glamor tetapi kerana jiwa dan minat.

“Memang saya tidak sepopular mana tetapi apabila ada peminat yang datang berjumpa dan menghargai bakat saya terharu. Malah ada peminat dari Singapura sanggup turun ke Malaysia untuk berjumpa saya.

“Itu pun sudah cukup membahagiakan saya. Saya berlakon bukan untuk glamor tetapi kerana minat. Cukup apabila ada peminat datang dan beritahu mereka terkesan dengan lakonan saya.

“Lagipun saya memang suka berlakon. Bagilah watak apa sahaja, saya akan cuba beri yang terbaik. Sebab itu saya selalu pesan kepada diri, jangan sombong dengan sesiapa terutama peminat,” katanya.

Mengakui lebih dikenali dengan watak-watak jahat, Sasqia tidak kisah sama sekali. Baginya, peminat kini sudah bijak menilai dan tidak akan menghentam hanya kerana sesuatu watak.

Malah dia juga tidak risau seandainya dikecam kerana itu adalah bukti watak yang dibawa cukup berkesan dan meninggalkan memori dalam fikiran peminat yang menonton.

Walaupun pelakon cantik ini pernah beberapa kali membawakan watak jahat yang membuatkan penonton geram namun tidak pernah sekali pun dia dikecam oleh peminat.

“Tiada istilah saya menolak watak baik. Saya terima semua tawaran asalkan jalan cerita bagus dan kena dengan jiwa saya. Cuma apabila kita berlakon watak ‘jahat’ ini, jiwanya berbeza.

“Jahat tak semestinya kena menjerit, pukul orang sana sini. Watak jahat ini macam-macam kita boleh buat. Ada watak antagonis yang memerlukan kita nampak suci tapi sebenarnya dengki dengan orang lain.

“Kalau mereka kecam itu tandanya saya berlakon baguslah. Saya patut gembira dengan perkara tersebut dan bukan sedih atau terasa hati. Penonton kita sekarang semua bijak dan boleh menilai,” katanya.