Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, meminta Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang, menamakan tokoh pilihannya untuk menjadi perdana
menteri selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.
Malah, kata Lim, soalannya itu boleh dijawab dengan mudah oleh Abdul Hadi "tanpa perlu memerah otak begitu banyak".
Kenyataan Lim itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada kisah Abdul
Hadi ketika bertemu dengan duta AS di Malaysia sebelum PRU ke-13 lalu.
Cerita itu dinukilkan Abdul Hadi pada salah satu catatannya baru-baru
ini. Ia dibuat ketika anggota parlimen Marang itu menjelaskan pendirian
PAS mengenai calon perdana menteri pilihan mereka.
Ketika pertemuan Abdul Hadi dan duta itu, PAS ditanya siapakah yang
dicalonkan PAS sebagai perdana menteri Malaysia kalau memenangi PRU?
"Saya menjawab secara sepontan: Siapakah calon yang dipersetujui oleh
AS? Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam," ceritanya.
Kata Lim, pengisahan pertemuan Abdul Hadi itu sangat menarik, sama ada dari segi kandungan juga waktu ia didedahkan.
"Ia
mengesahkan bahawa, walaupun Pakatan Rakyat bersetuju menamakan Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ketika itu dan ia
diumum secara terbuka semasa ceramah pilihan raya, Abdul Hadi dan
penasihat-penasihatnya mempunyai pandangan lain," katanya.
Pakatan Rakyat adalah gabungan parti pembangkang utama - PKR, DAP dan
PAS - yang dibentuk bagi menghadapi BN menjelang PRU ke-13.
Bagaimanapun gagasan itu berkubur apabila PAS dan DAP berseteru dan
kemudian melahirkan Pakatan Harapan (HAAPAN) dengan dianggotai Parti
Amanah Negara (AMANAH).
Ia kemudian disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Tahun ini PAS akhirnya turut berseteru - paling tidak di atas kertas -
dengan PKR apabila memutuskan kerjasama politik mereka dengan parti
berkenaan.
Sementara itu Lim menyatakan, walaupun Anwar masih calon utama
mengetuai kerajaan HARAPAN jika mereka mengatasi BN pada PRU ke-14,
bekas ketua pembangkang itu hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan
Malaysia, bukannya yang ketujuh.
"Disebabkan Anwar berada dalam penjara dan hilang hak memegang
jawatan awam selama lima tahun dari tempoh pembebasannya, beliau hanya
boleh menjadi perdana menteri kelapan dan tidak ketujuh," katanya dalam
kenyataan.
Justeru Lim berkata HARAPAN akan memutuskan siapakah tokoh yang boleh
disepakati untuk menjadi calon perdana menteri apabila pakatan itu
memenangi PRU ke-14.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan