Oleh NIK MUHAMMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
DAP
adalah sebuah parti politik macam PAS dan parti-parti politik yang
lain.Jika berkawan, ia adalah dalam ruang politik demokrasi. Jika
bermusuh, maka ia juga sama.Ia amalan demokrasi sihat yang saling bersaing dengan matlamat memandu negara kepada yang terbaik.
Apabila
hubungan PAS-DAP putus, maka ia samalah dengan putusnya hubungan
politik di antara parti-parti yang berikat dan bersekutu sebelumnya.
Ada persetujuan dan permuafakatan, maka termeterailah gabungan dan terhasillah kekuatan.
Apabila wujud kekhilafan dan pengkhianatan, maka terputuslah jalinan dan terhasillah perpecahan dan mungkin kerugian juga.
Semua rakyat Malaysia berhak atas nama warga negara untuk menentukan
masa depan negara dan memilih apa yang mereka suka. Sama sahaja, sama
ada muslim atau non muslim, Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Semua
adalah warga negara yang sama dan setaraf.
Siapa pun akan mula dianggap sebagai musuh negara hanya apabila mereka menentang perlembagaan negara.
Saat itu, negara boleh bertindak menghukum mereka sehingga mengharamkan
sebarang gerakan atau parti politik yang menentang perlembagaan negara.
Ia seperti gerakan komunis yang nyata menentang perlembagaan Malaysia.
Perlembagaan negara adalah akidah negara. Sebagaimana diri mulia dengan
akidah dan sanggup mati kerana akidah dan kepercayaan, begitulah
negara. Maruah dan kemuliaannya adalah pada menjunjung perlembagaannya.
Untuk mengubah perlembagaan negara, rakyat perlu melalui dua perkara
utama. Pertama, mereka perlukan majoriti terbesar iaitu dua pertiga.
Yang kedua, mereka perlu melakukannya dengan cara yang dibenarkan. Jika
tidak, segala usaha adalah salah dan tidak berperlembagaan. Sama ada
pihak kerajaan atau pembangkang, kesemua mesti menjunjung perlembagaan
dan undang-undang negara.
PAS dan DAP berhak mematlamatkan perjuangan masing-masing. Samalah juga partiparti lain seperti UMNO, PKR, MCA dan lain-lain.
DAP dengan dominasi non muslim sudah pasti bermatlamat memastikan
negara kekal sebagai sebuah negara sekular bahkan menuntut lebih
kebebasan dan persamaan dalam ugama dan bangsa. Mereka secara langsung
menolak wujudnya sebuah negara Islam yang terlaksana di dalamnya
nilai-nilai dan hukum-hukum Islam.
Selama mana ianya dalam ruang perlembagaan, maka perjuangan DAP adalah sah dan berperlembagaan.
PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berperinsipkan Islam sudah
pasti mahu memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan dengan
menjadikannya teras di dalam pembinaan negara.
PAS menolak amalan
sekular yang awal dan akhirnya adalah memisahkan negara daripada ugama
lalu meminggirkan peranan Islam untuk kebangunan negara.
Ketika
DAP berjuang dan berkempen dengan segala upaya mereka bersenjatakan akal
dan deklarasi hak-hak asasi manusia yang dituhankan, PAS pula berjuang
dan berkempen dengan segala upayanya bersenjatakan akal dan wahyu. Akal
adalah bumi dipijak. Wahyu pula adalah langit dijunjung.
Kelebihan DAP ialah janji manis sebuah kemajuan, kebebasan dan
kesamarataan. Kelebihan PAS ialah kewajipan agama yang mesti
dilaksanakan iaitu tugas khilafah di muka bumi Allah yang menuntut
kemajuan, keadilan dan kebebasan daripada selain Allah bagi seluruh
rakyat.
Ia adalah pertentangan yang nyata di antara PAS dan DAP. Tiada masalah. Ia masih dalam ruang lingkup perlembagaan negara.
Masing-masing berjuang di atas lunas demokrasi yang dibenarkan.
PAS dan DAP pernah diadukan oleh musuh politiknya untuk diharamkan.
Tetapi perlembagaan negara menolak kerana tiada sebab, bahkan nyata
masih bergerak dan beroperasi di atas lunas-lunas demokrasi negara.
Justeru apa isunya PAS dan DAP? Mengapa berpakat dan mengapa bermusuh?
Ya, berpakat kerana bersama berjuang membuang halangan yang tidak
demokratik. Kezaliman pemerintah Umno-BN dalam banyak perkara adalah
kesalahan dan perlecehan terhadap rakyat dan negara.
Ia menutup hak rakyat dan menghalang parti pembangkang daripada mara untuk diterima oleh rakyat.
Ya, berpecah dan bermusuh adalah kerana pengkhianatan terhadap
perjanjian persefahaman bersama. Toleransi awal tidak mampu lagi
dikekalkan. Siapa betul dan siapa bersalah?
Biarkan rakyat
mendengar dan memutuskan. Masing-masing berhak berhujah. Rakyat yang
budiman dan enggan ditipu dengan fitnah sudah pasti akan memilih yang
terbaik untuk mereka dan negara mereka.
DAP memusuhi Islam? Bukan
hanya DAP. Siapa pun yang menghalang umat Islam untuk bebas beramal
dengan agama mereka sepenuhnya di negara mereka, maka mereka adalah
musuh Islam.
Siapa pun.. DAP diperangi? Musuh mulut diperangi dengan
mulut. Musuh media diperangi dengan media.
Musuh senjata diperangi dengan senjata. Tiada melampau dalam beragama.
Kewarganegaraan adalah perjanjian keamanan di antara sesama rakyat
untuk hidup bersatu menjunjung perlembagaan dan undangundang negara.
Dalam politik dalaman negara, permusuhan bukan bererti peperangan. Ia
adalah pertentangan bagi memilih yang terbaik untuk negara.
Di mana dakwah?
PAS adalah pendakwah dan pejuang untuk agamanya.
Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam adalah pendakwah memujuk dan
menerangkan kepada Abu Jahal dan Abu Lahab di perbandaran Makkah. Di
medan perang Badar, baginda adalah pejuang yang menghunus pedang ke atas
Abu Jahal dan Abu Lahab.
Baginda mendakwah Abu Sufyan, kemudian
memeranginya dan kemudian mendakwahnya kembali sehingga akhirnya Abu
Sufyan memeluk Islam. Begitu baginda dengan Abu Sufyan, begitulah PAS
dalam dakwah dan perangnya ke atas DAP.
Anda harus melihat dakwah dalam konteks yang
lebih besar. Dakwah bukan hanya dengan senyum, bahkan kadang-kadang
dengan menyeringai taring tanda bertaring.
Dalam musuh menerima dan memberi keamanan, kita adalah pendakwah. Dalam
musuh menghalang dan memfitnah, kita adalah pejuang yang mempertahankan
ugama. Usah menggelar diri sebagai pendakwah kalau kecut dan mandul
untuk menjadi pejuang.
Dr Zakir Naik adalah bintang kejora di
dunia hari ini. Dia menjadi lampu buat semua manusia - muslim dan non
muslim - yang mencari-cari kebenaran hakiki.
Dia pendakwah.
Tetapi dia memerlukan para pejuang yang mesti mempertahankan haknya
untuk terus berdakwah dengan penuh aman. Siapakah yang mampu
mempertahankannya daripada ancaman dan konspirasi besar musuh Allah
kalau bukan sebuah negara Islam atau sebuah kekuatan yang besar daripada
pejuang Islam?
Akhir, biarkan PAS dan DAP bersama parti-parti
lain berjuang dengan matlamat masing-masing di atas lunas-lunas
perlembagaan tanpa halangan yang menyalahi demokrasi yang adil.
Ingat, jangan langgar perlembagaan negara. Peringatan ini adalah buat
Umno dan DAP. PAS dengan matlamat Islam yang agung, insya-Allah akan
kekal di landasan perjuangan yang sah di sisi undangundang ke arah
negara sejahtera menuju keredaan Allah.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Dalam kes ini PAS lebih kerap menghunus pedang daripada menguntum senyum kepada DAP. Itu masalahnya tuan yang mulia. Amalan ini tidak selari dengan ajaran Islam.
BalasPadam