Dengan rating populariti yang merosot, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak tahu bahawa beliau semakin kehilangan sokongan rakyat maka
beliau cuba menyingkirkan pakatan pembangkang sejak pilihan raya umum
(PRU) 2013.
Menjelang PRU 2018 yang semakin hampir tiba, Najib mempunyai tiga
muslihat utama - persempadanan semula, rang undang-undang (RUU)
antiberita palsu dan penangguhan pendaftaran pakatan pembangkang oleh
Jabatan Pendaftaran (RoS).
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk
Wee Ka Siong dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow
menyelar DAP kerana ingin menyingkirkan MCA dan Gerakan. Sedangkan,
sebenarnya Najib yang cuba segala cara untuk menyingkirkan pembangkang
daripada landskap politik Malaysia.
Selepas
kejutan pada PRU ke-13, Najib faham bahawa sekiranya BN bertembung
secara langsung dengan Pakatan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali
lagi, BN akan kehilangan kuasa di peringkat persekutuan.
Untuk menumbangkan pembangkang, Najib cuba menghapuskan Pakatan
Rakyat dengan menyingkirkan Anwar, selain mengumpan PAS menyokong Umno
dan memainkan sentimen kononnya pakatan pembangkang didalangi DAP dan
Lim Kit Siang.
Namun Najib tidak menjangkakan isu 1MDB bertukar menjadi skandal yang
begitu besar yang akhirnya menyebabkan perpecahan Umno. Beliau juga
tidak menyangka Tun Dr Mahathir Mohamad akan menubuhkan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyertai Pakatan Harapan, yang
seterusnya membolehkan pembangkang bangkit semula lebih kuat berbanding
sebelumnya.
Dengan
menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri ke-7 dan Anwar yang
ke-8, selain penyelesaian rundingan untuk 165 kerusi parlimen di
Semenanjung pada 7 Januari 2018, diikuti pelancaran manifesto rasmi -
yang digelar sebagai Buku Harapan - Pakatan Harapan bersedia untuk
mengambil alih Putrajaya.
Pada PRU ke-14, Najib akan cuba sedaya upaya "mencuri" pilihan raya.
Itu yang sedang dilakukannya sekarang, dengan tiga muslihat bertujuan
menyingkirkan Pakatan Harapan.
Pertama, dengan memanipulasi sistem pilihan raya melalui
persempadanan semula. Sekiranya sempadan pengundian pilihan raya akan
datang diluluskan, BN mampu meraih 60 peratus kerusi Parlimen dengan
hanya memerlukan 40 peratus undi popular.
Tokoh penganalisis, Wong Chin Huat dalam menjelaskan hal ini malah
memberitahu kemungkinan dengan 40 peratus undi itu, BN mampu meraih dua
per tiga majoriti.
Laporan persempadanan semuala akan dibahaskan di Parlimen minggu ini dan dijangka akan diluluskan dengan majoriti mudah.
Pilihan raya umum akan datang akan jadi begitu mencabar buat Pakatan Harapan, terutamanya di Johor, Selangor dan Perak.
Muslihat kedua Najib adalah dengan mengekang media digital. Penggantungan portal berita The Malaysian Insight
dan penggantungan beberapa kumpulan media sosial yang berpengaruh dalam
tempoh beberapa minggu sebelum PRU boleh dilihat sebagai percubaan
Najib mengekang media atas talian.
RUU Antiberita Tidak Benar dibentangkan di sesi Parlimen kali ini
juga akan disalah guna ketika pilihan raya sebagai alat untuk menindas
pengkritik kerajaan dan pemimpin pembangkang sementara cybertrooper BN
menyebarkan fitnah di medium sama dengan menyerang Pakatan Harapan.
Kerajaan BN secara langsung dan tidak langsung mengawal semua media
perdana namun masih takut dengan pengaruh media digital. Maka,
undang-undang antiberita palsu dicipta bagi menghalang pembangkang
menggunakan platform lain yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada
umum.
Ketiga, kerajaan Najib masuk campur dalam proses RoS mendaftaran
pakatan pembangkang, termasuk cuba membatalkan pendaftaran DAP dan
BERSATU.
Sejak era Pakatan Rakyat sedekad lalu sehingga pembentukan Pakatan
Harapan hari ini, kita cuba mendaftar sebagai pakatan rasmi dan
bertanding di bawah satu logo yang sama namun permohonan itu tidak
pernah diluluskan RoS.
Akhirnya,
semua ini menyebabkan perlawanan di padang yang tidak rata dengan BN
dan Najib memiliki semua kuasa dan sumber memanipulasi pilihan raya.
Namun tanpa sokongan rakyat, semua ini akan jadi tidak bererti.
Dalam menghadapi taktik kotor Najib yang mahu menghapuskan Pakatan
Harapan, kita perlukan penyertaan daripada semua rakyat Malaysia bagi
mengubah situasi dan memenangi perlawanan ini.
Saya menyeru semua rakyat
Malaysia tampil dan menjadikan PRU ke-14 sebagai titik permulaan dalam
membaharui negara kita.
LIEW CHIN TONG adalah ahli parlimen Kluang yang merangkap pengerusi DAP Johor.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan