Dulu dikatakan parti kecil kini AMANAH pikul tanggungjawab besar

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Mohd Anuar Tahir berkata, AMANAH yang dikatakan sebuah parti nyamuk suatu ketika dahulu kini memikul tanggungjawab yang besar dalam pentadbiran negara.

Kata beliau, hari ini AMANAH merupakan salah satu daripada empat parti gabungan yang telah diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu untuk memerintah negara ini.

AMANAH jelasnya, menerima tugas yang berat kerana negara yang ditinggalkan adalah negara yang hampir bangkrap tetapi AMANAH terpaksa memikulnya dan akan berusaha menjadikan Malaysia megah semula.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis sambutan tiga tahun AMANAH yang diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh Pahang pagi ini.

Majlis yang bermula jam 9.00 pagi itu berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran orang ramai lebih 2,000 orang dalam keadaan cuaca yang sedikit mendung.

Mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan agama.

Anuar berkata, AMANAH berasa bertuah kerana sambutan ulang tahun kali ini disambut di bumi bertuah iaitu negeri Pahang.

“Ia adalah tempat kelahiran Bahaman, Tok Gajah, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Mat Kilau dan pejuang-pejuang nasionalis tulen untuk memerdekakan Malaya dan kini Malaysia,” katanya.

Beliau mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada orang ramai ke majlis berkenaan.
Dalam ucapannya juga beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa dan pihak yang telah menjayakan majlis sambutan berkenaan.

“Terima kasih, semoga Allah memberikan ganjaran kepada semua, termasuk kepada kawan-kawan yang telah menyumbang dan menderma.

“Tuhan akan mengurniakan kebahagian kepada kalian atas kurnian yang ikhlas dan tiada benang terikat itu,” kata beliau.

Majlis berkenaan turut dihadiri perwakilan daripada parti gabungan lain dalam Pakatan Rakyat (PH) iaitu DAP, PKR dan Bersatu dan juga perwakilan daripada badan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir adalah beberapa orang perwakilan dari Indonesia, Thailand dan Palestin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan