Salahuddin mahu ‘sentuh’ semua golongan


Oleh AMNI JAGAT

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub semalam telah merasmikan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Pulai sebagai asas untuk mendekati masyarakat di kawasan tersebut.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat akan diberi perhatian dalam operasi pusat khidmat tersebut terutamanya di Parlimen Pulai.

Katanya, peruntukan untuk pembangunan sebanyak RM 1 juta di kawasan itu telah disediakan kepada rakyat.

“Sebelum ini kita beroperasi di pejabat Bukit Kempas dan kita sudah kenal pasti pejabat tersebut agak sempit serta kurang selesa.

“Kita ada enam orang pegawai yang akan sentiasa berkhidmat di kawasan ini. Waktu operasi adalah pukul 9 pagi hingga 6 petang. Bergantung pada keperluan, sekiranya ada panggilan mengenai bencana atau sebaliknya pegawai kita tetap akan hadir.

“Seluruh wakil dari pelbagai kaum telah disediakan bagi memudahkan segala pengurusan yang akan membabitkan pelbagai lapisan kaum di sini,” jelasnya dalam sidang media.

Dalam hal berkaitan, bekas Penolong Pengurus Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Mohd Ali Naina Mohd berkata, pejabat pusat khidmat itu lebih mudah untuk dikunjungi oleh orang awam di sekitar Pulai.

“Penduduk setempat akan mudah untuk ke mari berikutan akses yang mudah di sini dan berhampiran dengan jalan utama.

“Tiada masalah sekiranya pejabat ini dibuka di sini kerana ia berdekatan dengan pelbagai kawasan-kawasan popular seperti Plaza Angsana, Bandar Baru Uda dan Klinik Kesihatan Tampoi,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, bekas Pengarah Strategik Pilihan Raya Pulai, Mohd Shah berpendapat pembukaan pejabat itu tidak sesuai kerana kedudukannya di hujung kawasan Parlimen itu.

Jelasnya, ia hanya memberi kemudahan kepada mereka di kawasan Dun Kempas sahaja malah tidak strategik untuk kawasan Dun Perling.

“Masyarakat di Dun Perling seperti di kawasan Bukit Indah, Selesa Jaya, Jalan Tarom dan sekitar bandaraya Johor Bahru agak payah untuk akses ke sini.

“Sungguh pun begitu, ia adalah cabaran bagi pusat khidmat untuk turun padang mendekati masyarakat bukan dengan mengharapkan agar rakyat untuk hadir ke sini membuat aduan,” katanya lagi.

Program yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu tamat pada jam 5 petang dan dirasmikan oleh Salahuddin selaku Ahli Parlimen Pulai.

Lokasi Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai adalah di Bagunan PPNJ, Jalan Persiaran Tanjung, Susur 1, Bukit Alif, Johor Bahru Johor

Terdapat dua kerusi Dun di Pulai, iaitu Dun Kempas yang diwakili Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor serta Dun Perling yang diwakili Cheo Yee How manakala Parlimen Pulau mempunyai seramai 106,268 pengundi.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan