Sejumlah RM10bilion dari China jika batal ECRL


Kerajaan dijangka dapat menebus balik bayaran pendahuluan RM10.02 bilion yang dibayar kepada China Communications Construction Ltd (CCCC) sekiranya projek infrastruktur Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibatalkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata setakat 15 Februari lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek telah membayar lebih RM19.6 bilion kepada CCCC yang merupakan kontraktor utama projek itu.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi bayaran pendahuluan RM10.02 bilion dan pembayaran kemajuan RM9.67 bilion.

“Perlu ditarik perhatian di sini bahawa bon pendahuluan boleh ditebus oleh MRL sekiranya projek ditamatkan.

“Dalam erti kata lain jika berlaku senario terburuk, kerajaan boleh dapat balik RM10.02 bilion,” katanya menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pada sesi soal jawab.

Lim juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa keputusan sama ada projek ECRL itu akan ditamat atau diteruskan belum dimuktamadkan memandangkan rundingan antara pihak terlibat masih berjalan.

Menurutnya, kerajaan Selangor membantah projek itu kerana cadangan landasan dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan status tapak warisan Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi Klang Gate Quartz Rigde sepanjang 16 km, yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Katanya, semua kerja berkaitan projek ECRL telah digantung sejak 3 Julai lalu sehingga satu keputusan baharu dibuat.

Beliau berkata setakat ini empat sesi rundingan telah diadakan antara kerajaan Malaysia dan pihak China mengenai hala tuju ECRL manakala MRL dan CCCC juga telah mengadakan beberapa sesi teknikal untuk melihat mengurangkan kos projek itu yang dianggar mencecah RM80.92 bilion.

“Kerajaan masih belum buat keputusan. Saya harap YB (Yang Berhormat) boleh faham, kos yang dibiayai adalah tinggi. Selain RM80.92 bilion itu, pihak kerajaan masih belum ambil kira lagi kos faedah yang perlu dibayar untuk membiayai projek ini selain kos pengurusan yang boleh mencecah RM1 bilion setiap tahun,” kata Lim. — Bernama
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan