Husam yakin Aiman menang di Semenyih

Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih diyakini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2 Mac ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berkata, BN yang diwakili Zakaria Hanafi, 58, tidak memiliki faktor yang kuat untuk merampas kerusi yang disandang PH itu.

“Saya yakin calon kita akan mencapai kemenangan. Ini kerana BN tidak mempunyai sebab yang kuat mengapa calon mereka perlu diberi sokongan dalam PRK ini,” tegasnya.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata demikian dalam ceramah kelompok di Dataran Putra Walk, Bandar Seri Putra malam tadi.

Mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam berhubung proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, Husam berkata, kerajaan Pakatan Harapan masih baru mendapat mandat rakyat.

“Apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih daripada kerajaan Najib Razak Umno-BN yang telah dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kerajaan rasuah yang telah meninggalkan hutang yang sangat besar kepada anak cucu rakyat Malaysia maka tidaklah mudah kerajaan Pakatan Harapan terus membangunkan negara ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa memikul beban kewangan dan ekonomi yang sangat besar. Kerajaan kita adalah kerajaan yang bayar hutang.

“Kerajaan kita adalah kerajaan yang menguruskan masalah-masalah ekonomi yang ditinggalkan termasuk agensi-agensi seperti Felda, Tabung Haji, Mara, Felcra dan lain-lain.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat khususnya pengundi di Semenyih dapat memahami keadaan tersebut dan menghargai usaha bersungguh-sungguh kerajaan Pakatan Harapan.

“Harapan yang dipimpin Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Wan Azizah untuk membetulkan masalah ekonomi Malaysia sebelum memacu negara kita menjadi sebuah negara yang berkebajikan dan maju dengan program-program lebih baik pada masa akan datang,” kata Husam lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan