PAS tak kisah Sarawak Report kekal artikel RM90 juta

PAS tidak ambil kisah dengan tuduhan mendakwa parti Islam itu menerima dana RM90 juta dari Umno yang masih kekal di laman web Sarawak Report, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu menegaskan, tuduhan dalam laporan tersebut masih lagi satu fitnah walau saman ke atas portal berkenaan diselesaikan.

Katanya, fitnah berkenaan bagaimanapun tidak memberikan kesan PAS kerana parti itu masih mendapat sokongan.

“Turun atau tidak pun, orang ramai dah baca, sudah bertahun-tahun berita itu. Tidak ada kesan kerana semua orang sudah tahu. Bagi kita ia memang bohong dan fitnah.

“Di peringkat Parlimen juga kita minta bukti daripada DAP tetapi sehingga ke hari ini tiada dokumen yang menyokong tuduhan berkenaan,” kata Tuan Ibrahim, seperti dilapor portal Sinar Harian.
Tuan Ibrahim turut menjelaskan, PAS mengambil keputusan untuk tidak meneruskan saman berkenaan kerana enggan melayan fitnah yang disiarkan.

“Saya difahamkan mereka sudah mendapat persetujuan bersama. Bagi parti kita sambut baik keputusan presiden. Kalau diteruskan kos akan makan berjuta-juta, baik kita manfaatkan kos itu untuk benda lain.

“Lagipun kalau dilihat Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Kelantan kita kekal dan kita dapat Terengganu. Ia membuktikan berita fitnah itu tidak mempengaruhi pengundi,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau menjawab kritikan ke atas parti itu susulan penyelesaian saman ke atas editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah.

PAS kini ditekan untuk mengakui bahawa wang RM90 juta itu sememangnya disalurkan oleh Umno, yang kini menjalin hubungan lebih erat dengan parti Islam itu sejak kalah PRU14.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, saman itu ditarik balik semalam dan sebagai penyelesaian Rewcastle-Brown juga menarik balik tuntutan balas ke atas Abdul Hadi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan