Rupanya Ada Hikmahnya PAS Keluar Daripada Pakatan Rakyat





 Oleh Hayar Hassan

Mengikut rekod, Pakatan Rakyat (PR) telah ditubuhkan pada tanggal 1 April 2008 dan secara resmi bubar pada 16 Jun 2015. PR hanya dapat bertahan selama sekitar 7 tahun dan hanya sempat menyertai Pilihan Raya Umum(PRU) ke-13. Dalam PRU13, PR masih kekal sebagai gabungan pembangkang tetapi telah berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen Malaysia dan telah memenangi 5 Dewan Undangan Negeri (Dun). Itulah pencapaian terbaik PR.

Aktivis dan pendukung parti-parti pembangkang Malaysia khususnya PR ketika itu amat kecewa dan terkesan sekali akan peristiwa bubarnya PR itu, memandangkan PRU14 sudah dekat. Pemimpin utama pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) pula masih berehat di Penjara Sungai Buloh. Bacaan politik kebanyakan orang pada waktu itu, BN sudah pasti akan memenangi PRU ke-14 dan akan terus memegang tampuk pemerintahan dan pentadbiran Malaysia di Putrajaya.

Seandainya Datuk Seri Najib Tun Razak (DSNTR) membubarkan Parlimen dan PRU ke-14 diadakan sebelum bulan September tahun 2015, pastilah kemenangan akan tetap berpihak kepada Umno-BN dan DSNTR akan terus menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Wikipedia, faktor utama penyebab bubarnya PR adalah kerana Pas, salah satu parti utama dalam gabungan tiga parti utama PR sudah tidak boleh lagi duduk bersama-sama dengan parti DAP dalam menghadapi beberapa isu utama, terutamanya persoalan-persoalan yang menyangkut hal ehwal Islam.

Pas yang sudah lama berjanji untuk melaksanakan Undang-Undang Hudud semacamnya sudah terperangkap dengan janji tersebut. Orang-orang Islam yang mahukan undang-undang Hudud itu terlaksana mahukan Pas memberikan komitmen untuk melaksanakannya seandainya PR memenangi PRU14. Pas mahu PKR dan DAP bersetuju untuk perlaksanaan Undang-Undang Hudud mengikut acuan Pas yang mahu segera ianya dilaksanakan. Itulah bibit-bibit perpecahan yang melanda PR.
Dalam hal ini, adalah dipercayai bahawa Umno-BN mengambil manafaat atas ketidaksepakatan parti-parti gabungan dalam PR berkaitan isu Undang-Undang Hudud ini.

Seperti yang dimaklumi, apabila Pas bertindak keluar daripada gabungan PR, tokoh-tokoh progresif dalam Pas telah menubuhkan Parti Amanah Nasional (AMANAH) dan terus bergabung dalam PH.

Kalau disorot kembali, Pakatan Harapan (PH) hanya terbentuk pada 22 September 2015 dengan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Nasional (AMANAH) dan Democratic Action Party (DAP). Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya tertubuh pada bulan September 2016 dan kemudiannya bergabung dalam PH. YAB Tun Dr Mahathir Mohamad pula hanya dilantik menjadi Pengerusi PH pada 16 Januari 2018.

Kegagalan golongan agamawan dalam Pas atau lebih mudahnya dikenali sebagai golongan Ustaz-Ustaz duduk bersama-sama berbincang dengan aktivis-aktivis bukan Islam dalam PR adalah suatu fenomena yang amat negatif yang telah merencatkan kemajuan Pas di persada politik Malaysia.

Semasa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (NANM) masih menjadi Mursyidul Am Pas, Islam For All menjadi suatu slogan yang cukup menarik dan berjaya menarik sokongan pengundi-pengundi bukan Islam terhadap PR. Hasilnya, dalam PRU13, PR hampir berjaya mengalahkan BN!
Sesetengah pihak berpendapat, pendirian dan persepsi politik yang agak keras serta ekstrem yang menjadi amalan sebahagian ahli-ahli Pas adalah berpunca daripada tarbiah yang berlebihan dan tidak betul oleh pucuk pimpinan Pas itu semenjak parti itu ditubuhkan.

Natijah wujudnya insiden-insiden boikot memboikot, pulau memulau, penceraian antara suami isteri, tidak menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan, solat dua imam, tidak membayar zakat ke Pusat Urus Zakat Negeri-Negeri dan putus silaturrahim dalam keluarga adalah berita-berita yang berlegar dalam masyarakat Melayu/Islam kita semenjak daripada dulu lagi hinggalah sekarang. Hujung-hujungnya nama-nama aktivis dan ahli-ahli Pas pasti akan terpalit sama.

Contohnya dalam soal pendidikan anak-anak, penulis sendiri mengenali beberapa ketua keluarga yang akhirnya mengakui bahawa mereka telah tersilap dalam menyediakan pendidikan anak-anak mereka. Kerana terlalu taksub kepada pemimpin atasan parti, anak-anak mereka telah dimasukkan ke sekolah-sekolah tajaan Pas, walaupun anak-anak mereka itu memprotes untuk dihantar ke sekolah-sekolah tersebut. Akhirnya anak-anak mereka gagal dalam pelajaran. Yang anehnya kebanyakan daripada ibu bapa mereka adalah lulusan pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara!

Kasihan anak-anak remaja tersebut yang akhirnya hanya menjadi pemandu, penjual burger, mekanik dan pekerja biasa kilang, sedangkan bapanya adalah graduan-graduan bidang akauntansi, kedoktoran dan kejuruteraan!

Konsep Kepimpinan Ulamak yang dilaungkan oleh Pas suatu masa dulu menjadi isu yang menarik untuk diperhalusi. Ada orang berpendapat ianya adalah seperti meniru cara berpolitik Republik Islam Iran.

Program-program perkaderan Pas seperti usrah, tamrin, ijtimak dan sebagainya pada asalnya memang mempunyai matlamat yang cukup murni, iatu untuk meningkatkan Ukhuwwah Islamiyah dalam kalangan ahli-ahli Pas. Malangnya secara tidak disedari, ianya menjadi media atau pun pentas untuk mentarbiah ahli-ahli Pas supaya taksub kepada tokoh-tokoh pemimpin Pas.

Seperti yang kita maklumi, dalam agama Islam, hanya Nabi Muhammad S.A.W, insan yang maksum terhindar daripada berbuat dosa. Oleh yang demikian, setiap kata-kata dan perbuatan Baginda S.A.W perlu kita turuti tanpa sebarang persoalan kerana Kepercayaan Kepada Rasul-Rasul adalah satu daripada Rukun Iman.

Berbeza pula dengan insan atau manusia biasa lain. Walaupun sesaorang ilmuan itu tinggi ilmunya dan hebat amalannya, dia tidak maksum, bukan semua arahan dan saranannya tepat dan menepati syariat Islam. Ada ketikanya dia juga khilaf.

Oleh yang demikian, bukan semua arahan, tindakan dan pandangan pimpinan tertinggi Pas itu betul dan tepat. Apatah lagi dalam dunia berpolitik. Kadang-kadang terdapat pimpinan Pas yang tidak bercakap benar. Bercakap benar dan berlaku jujur itu bukan hak mutlak ustaz-ustaz dan agamawan sahaja. Hatta orang bukan Islam pun berhak bercakap benar dan jujur dalam berurusan dengan orang orang Islam dan orang bukan Islam.

Ungkapan, “Tak kan lah Tok Lebai pun bohong” adalah hanya layak untuk skrip lawak komedi sahaja, bukannya pegangan masyarakat kontemporari orang Islam Malaysia lagi.

Merujuk kepada episod terkini isu Saman Sarawak Report, akhirnya Pas terpaksa juga mengakui bahawa ada pemimpin-pemimpin atasannya tidak bercakap benar. Pas mengakui bahawa mereka ada juga menerima sumbangan-sumbangan kewangan daripada Umno

Ringkasnya, pimpinan atasan dan ahli-ahli Pas bukanlah insan-insan suci dan maksum. Mereka juga seperti orang Islam lain, kadang-kadang khilaf dan berbuat dosa juga. Mendabik dada mengatakan bahawa ahli-ahli Pas wajib wala’ kepada pimpinan atasan adalah tidak betul. Ini adalah suatu saranan yang sesat lagi menyesatkan! Rakyat akan terus mentertawakan Pas seandainya slogan murahan ini terus dijaja kepada masyarakat.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa keluarnya Pas daripada PR telah memberikan suatu hikmah kepada kelangsungan PH dalam membina Malaysia Baharu sebelum dan sesudah PRU14.

PH lebih mudah untuk bergerak pantas ke hadapan dengan mempunyai pemimpin-pemimpin yang rasional, mudah diajak berunding, sentiasa menjaga keharmonian dan hubungan antara bangsa-bangsa di negara ini, hormat menghormati antara satu dengan lain dan sentiasa menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia.

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia itu adalah suatu asas yang begitu kukuh dalam usaha kita untuk terus membina negara tercinta ini. Janganlah ada tangan-tangan yang cuba merobeknya.

Amalan membuat keputusan secara konsensus yang telah ditetapkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah suatu mekanisme yang cukup mantap dan tinggi nilainya. Sebarang cadangan yang menyentuh perkara-perkara pokok dan dasar perlu dibincangkan oleh Majlis Presiden PH dengan secara halus, dalam suasana harmoni dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat. Setelah proses ini dijalankan, baru lah sesuatu keputusan dibuat. Seandainya tiada keputusan yang dipersetujui secara bersama, keputusan ke atas sesuatu isu itu akan ditangguhkan keputusannya. Itulah kekuatan PR.

Saya beranggapan keluarnya Pas daripada PR adalah suatu hikmah kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam. Dari sudut politik, Islam itu tidak terus terfitnah oleh tindakan dan pandangan sempit beberapa kerat pemimpin yang mengaku berjuang atas landasan Islam.

* Hayar Hassan merupakan AJK AMANAH Permatang Pauh, Pulau Pinang
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan