Tukang emas Lubnan mahu terlibat saman sita aset Rosmah, Najib

Oleh Beda Hong

TUKANG emas warga Lubnan yang menyaman Rosmah Mansor kerana didakwa gagal membayar barang kemas bernilai AS$14.79 juta (RM60.2 juta) akan memohon campur tangan dalam saman sita barangan berharga yang dirampas dari rumahnya difailkan Putrajaya.

Peguam David Gurupatham, yang mewakili Samer Halimeh, memberitahu permohonan itu akan dibuat semasa pengurusan kes saman itu pada 24 Mei.

Samer menyaman Rosmah kerana didakwa gagal membayar 44 barang kemas, yang dikatakannya kini berada dalam simpanan polis ketika rampasan di premis berkaitan dengan Rosmah dan suaminya, Najib Razak.

“Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta butiran mengenai saman itu,” kata Gurupatham

“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.

“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas.”

Berhubung barang kemas yang tidak dirampas atau tidak termasuk dalam senarai itu, Gurupatham berkata anak guamnya akan meneruskan tindakan sivil untuk mendapatkan semula barang kemas, atau nilai tunai yang setara daripada Rosmah.

Samer, yang mempunyai pelanggan selebriti termasuk Angelina Jolie dan Oprah Winfrey, memiliki Global Royalty Trading yang berpangkalan di Beirut, memfaikan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas.

Polis merampas lebih 12,000 barangan kemas yang merupakan sebahagian daripada siasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd beberapa minggu selepas pilihan raya 9 Mei tahun lepas, apabila Pakatan Harapan merampas kuasa.

Polis juga merampas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang, jam tangan dan 27 kenderaan daripada Najib, Rosmah, tiga anaknya dan 13 individu serta beberapa syarikat.

Nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan oleh polis antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, menjadikannya rampasan terbesar dalam sejarah negara.

Rampasan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membolehkan polis menahan semua barangan rampasan selama setahun.

Polis mengatakan jika tiada pendakwaan atau sabitan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh rampasan, pendakwa raya boleh memohon kepada mahkamah tinggi untuk merampas barangan tersebut.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan