Jatuhkan PH: Pas hanya bermimpi, kata pemimpin Amanah

HULU BERNAM - Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa Pas wajib menjatuhkan kerajaan PH akan menjadi omongan kosong parti itu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, kenyataan tersebut sekadar mimpi Pas memandangkan PH berjaya mentadbir dan menangani beberapa isu dengan baik.

Menurutnya, sebagai seorang ulama dan orang lama dalam politik, Nik Muhammad Zawawi dilihat mengeluarkan kenyataan wajib itu secara umum.

"Kalau wajib tu bila? Kalau hari ini, ia satu perkara tidak patut dan sangat tidak bertanggungjawab kerana kita negara demokrasi dan pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, rakyat sudah memilih untuk memberi kepercayaan kepada PH.

"Saya rasa Pas dan parti lain ada hak untuk memerintah negara tapi kena ikut sistem demokrasi. Apa-apa pun tunggu PRU15 dan kita lihat apa pilihan rakyat.

"Dengan apa dilakukan PH dan berjaya menangani isu dengan baik, saya rasa kenyataan Dewan Ulamak Pas akan menjadi omongan kosong dan mimpi-mimpi mereka sahaja," katanya.

Abbas berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam.

Dalam pada itu beliau bersetuju dengan cadangan menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Katanya, pemikiran anak muda seawal usia tersebut perlu diterap mengenai politik bagi membuka minda dan menyemai rasa cinta kepada negara.

"Mereka boleh terjemahkan suara mereka melalui peti undi.

"Zaman sudah berubah kerana media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan memandangkan lebih 80 peratus anak muda ada akaun Facebook.

"Berita mengenai pentadbiran negara bermain di media sosial. Mereka akan dapat info dan boleh berfikir bagaimana mahu bawa pendirian mereka dalam politik," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan