Membudayakan semangat kerjasama, persefahaman dan hormat-menghormati dalam kalangan rakyat

Oleh Bartholomew Chan

Aktivis sosial terkenal tanah air, Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini mendakwa bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini sudah tidak lagi mempunyai sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain meskipun negara berpuluh tahun sudah diduduki rakyat pelbagai kaum.

Menurutnya, perkara ini menyebabkan timbulnya pertikaian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama seterusnya mengakibatkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum semakin terhakis.

Apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Lee Lam Thye memang benar dan berasas. Saban hari, ada sahaja isu yang dipolitikkan oleh pihak tertentu hingga ia seolah-olah menjadi isu perkauman atau agama walaupun hakikat adalah sebaliknya.

Malah sepanjang minggu lalu sahaja, keharmonian kaum di Malaysia diuji.

Ini berikutan tercetusnya beberapa insiden umpamanya kes kematian seorang pemandu berbangsa Melayu akibat dilanggar oleh seorang pemandu lain, ugutan oleh individu tertentu kepada masyarakat bukan Melayu serta kontroversi kenyataan yang dicetuskan oleh seorang tokoh agama.

Apa yang cukup membimbangkan adalah reaksi, amaran dan ancaman yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu bahawa mereka bersedia untuk memerangi golongan yang satu lagi.

Soalnya, apakah ada kewajaran untuk kita berkelakuan dan bertindak sehingga ke tahap yang berkenaan? Apakah kita sudah lupa akan sejarah zaman silam bagaimana kejatuhan sesebuah empayar adalah disebabkan oleh kerana perpecahan dalam kalangan penduduk?

Satu ketika dahulu, Malaysia dikagumi dunia kerana permuafakatan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Perpaduan dalam kepelbagaian atau unity in diversity menjadi bualan hangat ketika itu. Tidak timbul soal orang Melayu tidak boleh makan dengan sahabat-sahabat mereka daripada kaum lain bahkan hubungan mereka ibarat abang dan adik dalam sebuah keluarga besar.

Sekiranya ada masalah yang menimpa sahabat mereka daripada kaum lain, dengan lantasnya sahabat-sahabat lain akan tampil membantu. Begitu utuhnya semangat perpaduan dan kekeluargaan penduduk pada ketika itu. Jadi mengapakah keadaan yang sebaliknya berlaku di negara kita?

Benarkah bahawa masyarakat kita sudah hilang tolak-ansur antara satu sama lain? Bagaimanakah kita boleh sampai ke tahap ini? Apakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan sedemikian boleh membawa kepada kehancuran dan keharmonian negara yang kita cintai ini.

Pilihan kini di tangan rakyat. Merekalah yang boleh menentukan sama ada negara kita akan menghala ke suatu masa depan yang lebih baik dan gemilang. Jangan sesekali menjahanamkan negara yang kita cintai ini semata-mata kerana kita marah kepada sesuatu pihak ataupun untuk memenuhi ego peribadi seseorang.

Di kesempatan ini bersempena dengan bulan Kemerdekaan negara, gunakan platform yang diberikan untuk merenung kembali apakah yang telah dicapai oleh negara dan bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia dapat memainkan peranan menjaga keharmonian kaum dan memastikan kejayaan integrasi antara kaum.

Apa yang pasti, usaha pembinaan negara memerlukan persefahaman semua kaum. Resipi untuk memastikan kejayaan ini adalah Kerjasama, Persefahaman semua kaum dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Marilah sama-sama kita mendoakan agar Malaysia sentiasa diberkati dan dihindari daripada segala musibah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan