‘Jawapan menteri seperti tak endah cadangan lanjut moratorium’

Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mempersoalkan jika jawapan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam mengenai cadangan melanjutkan tempoh moratorium merupakan gambaran seolah-olah kerajaan tidak akan mengendahkan rayuan orang ramai itu.

Beliau yang juga ketua pemuda PKR (AMK) memberitahu pihaknya, menerima aduan dan pertanyaan mengenai mengapa kerajaan tidak boleh berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak-pihak bank untuk melanjutkan moratorium berkenaan.

“Apakah yang dimaksudkan dengan kerugian oleh sektor perbankan sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan untuk tempoh enam bulan?

“Pemahaman rakyat di luar sana, moratorium adalah penangguhan bayaran ansuran, bukannya pembatalan hutang.

“Adakah ‘kerugian’ yang dimaksudkan hanyalah sekadar keuntungan yang tertangguh? Malah terdapat pinjaman kepada peniaga kecil yang terpaksa menanggung faedah terakru (faedah ke atas faedah) sepanjang tempoh moratorium,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul berkata bank-bank dijangka mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium selama enam bulan, jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September tersebut.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta menteri kewangan menyatakan sama ada moratorium kewangan oleh bank-bank akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Menjelaskannya, Tengku Zafrul berkata sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

Menurut Akmal lagi, bank dijangka akan menanggung kerugian apabila pinjaman-pinjaman yang diberikan bertukar menjadi Pinjaman Tak Berbayar atau Non Performing Loans (NPL).

“Sambungan tempoh moratorium akan membolehkan peminjam individu mahupun usahawan kecil memulihkan pendapatan mereka.

“Sekiranya moratorium dihentikan sebelum keadaan ekonomi yang stabil, kadar NPL akan meningkat yang menyebabkan kerugian sebenar kepada bank,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan