Pakatan Harapan boleh tebus kecelaruan dengan cara…


Oleh SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN 

Kejadian yang berlaku semasa sesi belanjawan 2021 ingin di luluskan diperingkat dasar menjadi persoalan. Tindakan yang diambil oleh blok pembangkang (sama ada yang bangun atau yang duduk) mendapat pelbagai reaksi umum. Ada yang kesal, mengutuk dan ada juga yang memuji.

Daripada beberapa komen pimpinan Pakatan Harapan (PH), didapati tindakan bangun mahupun duduk mempunyai implikasinya yang tersendiri antaranya jika semua pembangkang bangun dan undi belah bahagi dilakukan walaupun tidak berjaya menolak belanjawan ini ia akan dilihat yang pembangkang bersatu padu untuk merempuh PN.

Jika semua pembangkang duduk pula dan undi belah bahagi tidak dilakukan, PN tidak akan boleh menjaja cerita bahawa mereka mempunyai majoriti dan PH merupakan golongan yang menderhaka pada Titah YDP Agong.

Apa yang berlaku kali ini ia haruslah menjadi medan muhasabah buat semua peneraju pembangkang, dimana mereka harus menilai sejauh mana keampuhan mereka sebagai satu pasukan pembangkang.

Kini pembangkang harus maju kedepan dengan tidak ada sesiapa perlu berpisah dan tidak ada siapa perlu meletakkan jawatan sebagai tebus kegagalan. Kenyataan ini merupakan pandangan peribadi bukan sebagai pimpinan pemuda parti dalam komponen PH. Pimpinan pembangkang harus menebus hal ini dengan cara berikut:

Pembangkang harus bersatu semula sebagai entiti yang berpadu menjadi bayangan kepada kerajaan PN. Maka harus disegerakan pembentangan belanjawan alternatif daripada pasukan pembangkang selain menubuhkan kabinet bayangan yang dianggotai oleh ahli parlimen pembangkang.

Belanjawan alternatif merupakan medan untuk pembangkang menunjukkan langkah mereka andai mereka menjadi kerajaan kini. Semasa Pakatan Rakyat dulu, setiap tahun PR membentangkan belanjawan alternatifnya, kini setelah PH pernah menjadi kerajaan selama 22 bulan, pastinya belanjawan alternatif yang dibentangkan lebih tersusun, realistik dan ada kewibawaan.

Mengapa kabinet bayangan diperlukan? Kerana jika semasa perbahasan belanjawan peringkat dasar sekalipun ramai ahli parlimen pembangkang tidak sempat untuk berbahas, inikan pula semasa diperingkat jawatankuasa, masanya lebih pendek dan penyertaan ahli parlimen pembangkang untuk berbahas akan dihadkan. Oleh itu, apabila kabinet bayangan dibentuk, ahli parlimen yang telah dipilih untuk memantau kementerian tertentu bolehlah menjadi pembahas apabila belanjawan kementerian dibahas. Harus diingat, kabinet bayangan ini bukanlah untuk meletakkan seseorang sebagai bakal menteri, tetapi ia bertugas untuk memantau kementerian yang ditetapkan bersama 3 lagi ahli parlimen lain termasuk bekas menteri terlibat.

Seterusnya, PH khususnya harus menyegerakan penyusunan semula organisasiI PH dari atas sehingga ke bawah. Dimana ruang-ruang kosong dalam PH, pimpinan harus mula mengisinya dari sekarang tanpa ada sebarang alasan lagi. Jurang antara ahli parti dalam komponen PH semakin menebal akibat tiada penyusunan organisasi dan penyelarasan jentera pasca tumbangnya kerajaan PH. Jika ia dibiarkan, maka PH akan terus berkecamuk walaupun setiap hari PH menyatakan bahawa PH kukuh dan berpadu. Jika Azmin Ali pengarah pilihan raya PN, manakala Tajuddin Abd Rahman pengarah pilihan raya BN, siapa pengarah pilihan raya PH?

Konvensyen PH peringkat negeri dan nasional harus diadakan dan segala kerapuhan dan kekusutan yang membelengu PH dirungkai dan diselesaikan. Yang pasti selepas konvensyen nasional, PH akan dilihat kembali bertaut dan berpadu. Benar kita marahkan semua pengkhianat yang telah menyebabkan PH tumbang, tapi dalam masa yang sama kita telah membiarkan kesan dari tindakan mereka merosakkan PH berlarutan. Seharusnya kesan itu dibuang dan diisi dengan nilai yang baru.

Parti komponen PH harus bersikap terbuka dalam kerjasama semua pembangkang, jika ada komponen parti PH yang cuba berbaik dengan parti pembangkang lain, janganlah jadikan ia sebagai kesalahan yang boleh menggugat PH. Berikan ruang untuk rundingan berjalan atas isu kebersamaan pembangkang dengan syarat tidak perlulah pihak pembangkang lain menyerang pimpinan PH yang lain. Kerana ini seruan penyatuan pembangkang, maka mana-mana pimpinan pembangkang yang menyerang pimpinan pembangkang lain, maka ia tidak mahu berpadu sebagai pembangkang dan membiarkan PN kekal melakukan kerosakan. Parti dalam komponen PH pula tidak perlu bersikap abang long seperti parti yang telah meninggalkan PH dahulu, semua harus bersikap tolak ansur dan hormat antara satu sama lain. Sikap ini bukan untuk pimpinan atasan sahaja ia untuk semua lapisan termasuk pimpinan negeri dan akar umbi.

Oleh itu, inilah mungkin beberapa tindakan yang boleh diambil oleh semua pimpinan PH bagi menebus kesilapan yang dilakukan tempoh hari sama ada secara sengaja atau tidak. Saya terus mendokong pendirian presiden saya Tuan Hj Mohamad Sabu yang kesepakatan bersama Anwar Ibrahim harus dipertahankan dan pembangkang perlu bersatu. Juga saya menyatakan penghargaan buat ahli parlimen khususnya AMANAH yang bangun untuk mengadakan undi belah bahagi seterusnya menolak belanjawan 2021.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan