Andai Umno berbaik dengan PAS

 


Oleh Mohsin Abdullah

Bukanlah rahsia besar ada dalam Umno yang nak parti mereka lupakan kerjasama dengan Pakatan Harapan dan berdamai dengan PAS. Saya gunakan istilah “ada” kerana tidak tahu bilangan mereka – baik pemimpin atau ahli biasa yang mahukan itu.

Masing-masing ada sebab sendiri mengapa mereka mahu apa yang mereka mahu. Namun alasan “rasmi” ialah Umno akan terus hilang sokongan Melayu jika terus berbaik dengan DAP yang duduk kukuh
dalam Pakatan Harapan (PH).

Ertinya mereka “jujur” dan “ikhlas” mahu “menyelamat Umno”. Semasa menubuhkan Muafakat Nasional dahulu (sebelum Umno dimainkan PAS. Ini kata Umno sendiri) kedua-dua cukup yakin akan memenangi jumlah besar kerusi Parlimen khususnya pada mana-mana pilihan raya mendatang.

Waktu itu mereka bercakap mengenai PRU15. Ini berdasar congak dan sifir mereka bahawa jika diambil kira undi yang diperolehi Umno dan PAS pada pilihan raya sebelumnya dan dicampurkan jumlahnya melebihi apa yang didapati PH ketika memenangi banyak kerusi yang ditandingi.

Penganalisis dan pakar kaji selidik menyifatkan pengiraan itu “simplistik” kerana banyak faktor lain mesti diambil kira yang menentukan pungutan undi dan kemenangan. Saya tidak akan huraikan faktor berkenaan. Cuma ingin mengingatkan formula Umno PAS itu tidak sempat diuji di peti undi dan kita tahu apa yang terjadi dengan MN.

Sekarang berbalik cerita bahawa ada di kalangan Umno yang mahu MN 2.0. Bolehlah disifatkan begitu jika bercakap mengenai Umno berbaik semula dengan PAS walaupun tidak disebut istilah MN secara khusus.

PAS sememangnya mahukan Umno berbaik dengannya. Tidak perlu jadi saintis politik untuk tahu PAS tidak mahu perpaduan ada dalam kerajaan perpaduan. Alasan rasminya ialah demi penyatuan umat Melayu Islam.

Maka timbulah persoalan yang menjadi tajuk penulisan ini. Andai Umno berbaik dengan PAS apa yang akan terjadi? Bagi orang Umno yang pro langkah ini kejayaan yang diyakini ialah orang Melayu akan sokong mereka, yakni orang Melayu yang dahulu pernah menyokong mereka dan juga penyokong PAS.

Tidak ketinggalan penyokong Bersatu kerana parti itu duduk bersama PAS dalam Perikatan Nasional (PN). Lalu wujudlah satu blok Melayu yang cukup besar. Congak dan sifir lama akan menjadi realiti (pedulikan faktor lain yang dikatakan penyelidik). Dan oleh kerana orang Melayu adalah majoriti, undi “solid” Melayu akan memberi kemenangan pada pilihan raya sekali gus mereka memerintah negara.

Itu berita yang baik. Tetapi buruknya pula (jika istilah buruk boleh saya gunakan) ialah beberapa masalah akan timbul. Antara yang utama ialah (isu lama sebenarnya tetapi sentiasa segar) pengagihan kerusi. Siapa bertanding di mana? Ketiga-tiga parti Melayu akan mahu kawasan majoriti Melayu- di kerusi mereka pernah bertempur dahulu. PAS dan Bersatu nampak sudah ada persetujuan tetapi itu pun memang ada rasa tidak puas hati.

Masuk pula faktor Umno. Rumit perkataan lembut yang boleh diguna untuk membayangkan keadaan. Dan siapa akan dapat tanding lebih banyak kerusi? Ini penting kerana dalam sistem kita parti yang menang jumlah terbanyak akan menampilkan calon perdana menteri. Jangan nafi Umno dan PAS mahu tidak orangnya jadi PM. Kedua parti anggap mereka parti terbesar dalam gabungan.

Juga mengenai ideologi dan pendekatan. PAS akan kekal dengan ideologinya. Umno pula bagaimana? Kekal dalam bentuk asal sebagai parti nasionalis? Walaupun ada tunjuk mahu jadi lebih Islamik. Ubah jadi parti garis keras agama? Anjak ke aliran kanan atau hingga far right ?

Bagi orang lama Umno, Nazri Aziz, kejayaan partinya terletak pada strategi politik praktikal. Kata beliau membuat jajaran dengan PAS dan Bersatu mungkin tidak membuah hasil yang diidamkan.

“Jika ahli Umno fikir dengan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu kita (Umno) akan jadi parti Melayu dominan mereka silap. Apabila PRU16 diadakan kelak Umno mungkin mendapati ia parti ketiga,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Pada pandangan Nazri, Umno mempunyai peluang memenangi kerusi yang hilang dengan meneruskan kerjasama dengan PH dan “dalam politik menang kerusi ialah satu satu yang paling penting”, bukannya mahu jadi parti Melayu sentrik.

Namun bagi golongan Umno yang mahu blok Melayu wujud seperti dikatakan tadi, jadi Melayu sentriklah cara untuk menang. Tetapi semua tahu untuk memerintah negara sesebuah parti atau gabungan politik mesti dapat sokongan rakyat semua bangsa. Dengan mencipta blok Melayu akan mengakibat jurang perpisahan.

Ada blok Melayu dan blok bukan Melayu. Jangan lupa blok Borneo. PAS sendiri tahu akan realiti ini dan sedang cuba mendapat sokongan rakyat pelbagai bangsa dan agama. PN akan menganjurkan rumah terbuka Tahun Baru Cina Februari ini. Sekadar satu contoh kecil.

Kesimpulan Nazri “Jangan emosi. Kita perlu fikir dan menganalisis dengan teliti sebelum membuat keputusan yang akan mencorakkan masa depan politik kita.”

Sebagai penutup saya ulangi apa yang pernah tulis pada masa lalu. Jika berbaik dengan DAP dikatakan Umno tidak akan dapat kembalikan sokongan Melayu, imbas kembali Melayu menoleh muka daripada Umno pada PRU15 – lama sebelum parti itu berbaik dengan DAP.

Yang buat Melayu tidak sokong ialah skandal 1MDB. Tak kan dah lupa?

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan