Remaja Korea Utara tonton K-Drama dihukum kerja berat 12 tahun


SEOUL: Dua remaja Korea Utara dikenakan hukuman menjalani kerja berat selama 12 tahun atas kesalahan menonton drama Korea atau K-drama.

Memetik laporan BBC hujung minggu lalu, hukuman berkenaan dijatuhkan di depan ratusan remaja di sebuah stadium terbuka berdasarkan satu rakaman video.

Rakaman video itu dipercayai diambil pada 2022, memaparkan kedua-dua remaja itu dilihat sedang digari oleh pihak berkuasa negara terbabit.

Suara latar terselit dalam video itu juga mendakwa, budaya dari Korea Selatan memberi pengaruh buruk sehingga merebak kepada remaja Korea Utara.

"Budaya buruk rejim (ditujukan kepada Korea Selatan) telah merebak kepada remaja di sini.

"Mereka baru berusia 16 tahun, tetapi telah merosakkan masa depan sendiri," kata suara latar dalam video berkenaan.

BBC memaklumkan mereka memperoleh rakaman terbabit daripada Pembangunan Selatan dan Utara (SAND) iaitu sebuah institut penyelidikan yang bekerjasama dengan pembelot dari Korea Utara.

BBC mengesyaki, video itu diedarkan ke seluruh Korea Utara bagi mendidik rakyatnya, supaya tidak menonton sebarang kandungan media dari Korea Selatan.

Korea Utara didakwa mengharamkan rakyatnya daripada menonton kandungan hiburan dari Korea Selatan.

Difahamkan, kanak-kanak bawah umur pada masa lalu yang melanggar undang-undang terbabit kebiasaannya tidak akan dipenjara, cuma dihantar menjalani hukuman di kem buruh belia. - AGENSI

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan