Bertanding atas tiket Pas ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyertai wadah politik baharu antara dua pilihan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sekiranya dipecat daripada parti.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, Hamzah tidak mempunyai masalah untuk menyertai wadah politik baharu memandangkan beliau mempunyai pengaruh cukup kuat yang memberi nilai tambah kepada mana-mana parti disertai.
Katanya, difahamkan sekurang-kurang 15 Ahli Parlimen dari Bersatu dan lebih 100 bahagian parti itu yang menyokong Hamzah.
Beliau berkata, kenyataan terbaharu Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang meminta Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sekali gus turut mengesahkan beliau juga bersama Ketua Pembangkang itu dan tidak kisah dikenakan tindakan.
“Untuk masa terdekat, pilihan terbaik yang ada kepada Hamzah adalah untuk mengekalkan hubungan dengan Pas dan bertanding atas tiket parti itu. Selain itu, menyertai mana-mana parti politik yang ada bersama kumpulannya.
“Sekiranya dipecat, tidak ada masalah untuk Hamzah menyertai mana-mana wadah politik baharu, cuma yang menjadi kekakangan jika Hamzah sekadar digantung dari parti,” katanya
Kelmarin akhbar ini melaporkan, walaupun kedudukan Hamzah tidak dibincangkan dalam pertemuan pemimpin Bersatu dengan Muhyiddin baru-baru ini, namun beliau bakal dipecat dalam masa terdekat susulan desakan pemimpin akar umbi.
Hashim berkata, adalah lebih baik Hamzah menyertai wadah politik baharu seterusnya menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik yang kukuh di negara ini termasuk UMNO dalam meredakan politik permusuhan.
“Banyak juga persamaan kumpulan Hamzah dengan UMNO sekali gus bakal membawa sesuatu yang lebih baik kepada negara dan mengelak politik persaingan, permusuhan yang tidak pernah habis di dalam Bersatu.
“Kumpulan Hamzah termasuk Ahli Parlimen dan bahagian-bahagian ini juga dijangka terus menyokong Hamzah jika berlaku apa sekali pun.
“Masalah dalaman Bersatu selepas ini dijangka bertambah parah sekiranya Hamzah dipecat dan bakal mengundang perpecahan besar-besaran,” katanya.

0 comments:
Catat Ulasan