Oleh Datuk Abdul Halim Hussain
Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Pekerj-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Azih Muda, bahawa penjawat
awam di Malaysia memiliki hutang RM880 juta dan berdepan risiko untuk
muflis.
Hal ini sangat membimbangkan berikutan kenaikan gaji dan peningkatan
harga barangan tidak seiring sehingga tidak mampu untuk menangani kos
sara hidup.
Di kawasan bandar terutamanya, nilai gaji menjadi rendah akibat kuasa
beli yang berkurangan berikutan peningkatan harga barangan keperluan,
kos pengangkutan yang tinggi dengan kadar sewaan rumah lagi.
Kenaikan gaji yang tidak setara dikenalpasti menjadi faktor
penyumbang utama peningkatan kos sara hidup. Oleh itu satu cara mudah
untuk membiayai kos sara hidup ini ialah dengan berhutang.
Berhutang untuk pembiayaan rumah, kenderaan (kereta atau motosikal)
adalah hutang asas di mana hampir kesemua penjawat awam terpaksa memikul
beban pembelanjaan bayaran balik bulanan.
Dengan kenaikan gaji yang
tidak setara dengan kenaikan kos sara hidup ini penjawat terdedah kepada
tabiat yang tidak sihat seperti penggunaan kredit kad tanpa kawalan,
berhutang dengan koperasi, pinjaman peribadi bank dan yang lebih teruk
lagi 'berhutang dengan ah long' yang akhirnya membawa kepada risiko
muflis.
Kerajaan Umno BN menyedari hakikat kos sara hidup yang tinggi ini
antaranya akibat GST, sungguhpun, menterinya Datuk Ahmad Maslan
menafikan GST akan menaikkan harga barang. Oleh kerana itulah Ahmad
Maslan mencadangkan rakyat membuat dua atau tiga kerja bagi menampung
perbelanjaan akibat kos sara hidup yang tinggi ini.
Kenaikan kos sara hidup perlu seiring dengan kenaikan gaji dalam
membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang berpendapatan tinggi.
Malaysia sepatutnya boleh menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada
pekerjanya, namun dek terpalit dengan pelbagai isu seperti 1MDB
contohnya, telah menyebabkan kecurian khazanah negara berbilion ringgit
banyaknya.
Dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia
bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi, persekitaran ekonomi
yang semakin mencabar dan tatakelola buruk Umno BN akhirnya memangsakan
golongan pekerja.
Masalah tekanan atau desakan hidup akibat gaji rendah ini sudah tentu
akan mendedahkan penjawat awam kepada perbuatan jenayah seperti gejala
rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, masalah sosial dan keruntuhan
keharmonian institusi keluarga dan komuniti.
DATUK ABDUL HALIM HUSSAIN adalah mantan Speaker DUN Pulau Pinang dan Ketua Cabang PKR Balik Pulau.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan