Khalifah Abu Bakar namakan pengganti…

Pensyarah fekah dan usul fiqh Dr Ustaz Rozaimi Ramle berkata, kenyataan seorang ilmuwan yang merupakan presiden sebuah parti di Malaysia seolah membayangkan bahawa meletakkan calon PM dan meletakkan kabinet bayangan bercanggah dengan adab Islam.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan terbaru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal menamakan calon PM untuk PRU14 akan datang.

Antara dalil yang beliau gunakan ialah kisah Bani Amir, kata Dr Rozaimi.

“Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komentar atas artikel beliau ini. Berikut komentar saya:
“Penulis membuka bicaranya tentang politik Islam dengan sangat baik. Penulis berjaya menunjukkan keanjalan sistem politik Islam. Hadis yang bermaksud: “pemimpin dari Quraisy” tidak difahami secara literal tetapi ia bermaksud seseorang yang ingin jadi pemimpin perlu mendapat sokongan majoriti.

“Namun setelah itu penulis seolah membayangkan bahawa adab Islam tidak meletakkan calon PM. Sebab itulah partinya tidak meletakkan calon PM.

“Penulis menggunakan riwayat Ibn Ishaq berkaitan kisah Bani Amir. Saya bawakan riwayatnya supaya kita sama-sama lihat:

“Maksudnya: kata wakil Bani Amir lepada Nabi: apa pandangan kamu jika kami mengikuti kamu dalam urusan kamu, kemudian Allah menangkan kamu ke atas orang yang memusuhimu, adakah kami akan menerima kuasa selepas dari kamu? Sabda Nabi: kekuasaan dari Allah dan Dia akan letakkan pada siapa yang Dia mahukan,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Kata beliau, riwayat ini dinukilkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya terputus dari jalur al-Zuhri.
“Jika dilihat ia tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin. Sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan. Jika dilihat daripada teks ini jelas bahawa Bani Amir sudah dapat gambaran bahawa Nabi akan menjadi pemimpin mereka. Ini seolah mereka sudah dapat gambaran calon pemimpin apabila menang dan membentuk kerajaan nanti. Justeru mereka mahu berkuasa setelah Nabi.

“Cubaan menggunakan riwayat ini untuk mengatakan menamakan calon pemimpin bukan adab Islam adalah tersasar bagi saya. Perlu diingatkan bahawa ulama tidak sepakat terhadap isu larangan meminta jawatan secara mutlak. Sebahagian ulama memperincikan hukumnya. Ia dibenarkan bagi mereka yang layak. Dan inilah pandangan yang kuat bagi sebahagian pengkaji moden.

“Saya tidak tahu ke mana penulis ingin bawa pembaca artikel beliau. Ia seakan ‘flip flop’. Sekejap berpegang dengan maqasid (objektif) di sebalik hadis sepertimana dalam mukadimahnya. Sekejap mahu berpegang dengan literal hadis yang melarang meminta jawatan,” kata beliau lagi.

Jelas beliau, jika meletakkan calon PM itu dikira sebagai meminta jawatan, mengapa penulis tidak terus sahaja katakan bahawa bertanding dalam pilihan raya juga meminta jawatan dan ia dilarang juga? Bahkan ia lebih ‘direct’ meminta jawatan dari pengundi.

Dan lagi katanya, jika meletakkan calon PM dikatakan menyalahi adab Islam, bagaimana pula dengan meletakkan manifesto? Bukankah kedua-dua isu ini berkait rapat iaitu meyakinkan pengundi tentang visi dan misi parti yang bertanding untuk meraih undi dan keyakinan dari pengundi?

“Saya ingin tegaskan bahawa isu politik dalam Islam kebanyakannya bersifat ijtihad dan anjal. Oleh itu, khulafa’ rasyidin juga berijtihad dalam politik. Abu Bakar pernah mencadangkan Umar sebagai pemimpin selepasnya. Adakah Abu Bakar tidak mengamalkan adab Islam? Tidak sama sekali. Ia isu ijtihad.

“Maka kenyataan yang mengatakan menamakan calon PM bukan adab Islam itu sebenarnya yang menyalahi adab Islam. Jangan digunakan nama Islam untuk tindakan kita sewenangnya kerana bimbang nanti bila kita tukar pandangan nama Islam akan dibawa tukar juga,” kata beliau.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan