Tanah Felda: Perlu siasat hingga ke akar umbi, kata Ismail Sabri

Siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi perlu dilakukan terhadap semua pihak yang berkaitan dalam transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata siasatan itu bukan hanya melibatkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tetapi juga perlu meliputi syarikat pemaju tanah yang dilantik.

“Saya percaya semua pihak perlu dipertanggungjawabkan. Semua rakyat tidak kira sama ada golongan peneroka atau mereka yang tidak berkaitan dengan Felda terperanjat dengan isu yang dibangkitkan ini.

“Siasatan perlu dilakukan hingga ke peringkat akar umbi kerana jumlah yang terlibat amat besar dan tanah di Jalan Semarak juga amat berharga dan sesekali tidak boleh dilepaskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Raja Sehari Mega Parlimen Bera 2017 di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian semasa mengulas laporan bahawa Felda berisiko hilang hak ke atas tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang mencurigakan sejak 2015.

Beliau juga berpandangan Felda juga harus mengambil tindakan undang-undang jenayah, jika terdapat unsur jenayah seperti penipuan dalam penukaran hak milik itu, dan bukan hanya bergantung kepada tindakan sivil.

Siasatan juga perlu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera, meminta rakyat untuk memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu dan tidak terus membuat kesimpulan dengan menyalahkan atau mengaitkan mana-mana pihak.

“Kita tidak dapat elak akan ada pihak yang mahu mempolitikkan isu ini… tapi sewajarnya ia diserahkan kepada pihak berkuasa dan SPRM. Jangan kita ganggu siasatan mereka.

“Begitu juga kepada Felda… beri peluang untuk mereka lakukan tindakan undang-undang. Kurangkan elemen politik dalam isu ini sebab kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan