Oleh
POLITIKUS tidak pernah bersara atau hilang selama-lamanya. Mereka
akan terus cari jalan untuk kembali, seperti veteran MCA Chua Soi Lek.
Bekas menteri kesihatan itu dijangka bertanding untuk jawatan
presiden parti pada pemilihan akan datang- kali kedua beliau kembali
aktif dalam politik.
Dengan kemasukan Chua, pertandingan jawatan tertinggi MCA akan
menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Presiden Wee Ka
Siong, bekas presiden Chua Soi Lek, bekas naib presiden Donald Lim dan
Gan Ping Sieu.
Pegawai parti yang menyokong Chua memberitahu The Malaysian Insight yang beliau berharap dapat menggerakkan sokongan
akar umbi yang tidak berpuas hati dengan prestasi buruk MCA pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu serta cadangan dilakukan Wee yang
mahu membuka keahlian parti kepada semua kaum.
“Kami melawat lebih 50 bahagian seluruh negara. Ramai ahli akar umbi
tak berpuas hati dengan kepimpinan sekarang, terutama sekali dengan
cadangan Wee mahu buka parti (kepada kaum lain).
“Ramai ahli kata mereka akan keluar parti jika itu berlaku,” kata pegawai kem Chua itu.
MCA adalah salah satu daripada tiga parti yang masih berada dalam Barisan Nasional selepas kekalahan mengejutkan PRU14.
Parti untuk etnik Cina itu hampir tersungkur pada 9 Mei, menang hanya
di kerusi Parlimen Ayer Hitam itupun dengan majoriti sangat tipis 303
undi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri.
Sedangkan, tidak sampai sedekad yang lalu, MCA menang 31 kerusi
Parlimen dan 75 kerusi DUN pada PRU2004. Itu adalah prestasi terbaik
parti itu dalam sejarah.
Pada PRU2008 dan 2013, pengundi Cina mula mengetepikan MCA dan memberikan undi kepada DAP.
Hasilnya, MCA hanya menang 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN pada 2008.
Prestasinya bertambah buruk pada 2013, menang hanya tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.
Susulan kekalahan teruk parti itu, Wee berkata MCA perlu mengubah
imejnya dan bersedia untuk berubah untuk terus kekal relevan dalam
landskap politik Malaysia.
Beliau membayangkan kemungkinan membuka keahlian parti
kepada bukan Cina, cadangan yang tidak diterima baik oleh ahli veteran
parti.
Chua merupakan presiden parti pada 2010 hingga 2013, menyalahkan
kekalahan parti kerana keputusannya menerima lantikan Kabinet walaupun
selepas prestasi buruk PRU2013.
“Tidak masuk Kabinet memberikan MCA kebebasan dan ruang untuk
berubah. Nasib MCA boleh jadi berbeza jika kita terus berada di luar
kerajaan,” kata Chua merujuk kepada prestasi buruk parti itu 9 Mei lalu.
“MCA sekarang seperti pesakit ICU di mana tiada doktor yang boleh
beri rawatan setepatnya,” kata Chua lagi dalam satu catatan Facebook
pada 20 Mei lalu.
Bekas menteri kesihatan itu letak semua jawatan politik setelah
terpalit skandal video seks pada 2008, tetapi buat kemunculan semula
yang mengejutkan apabila menang jawatan presiden pada pemilihan parti
2010.
Lim dan Gan pula berkata yang mereka akan bertanding pada pemilihan
parti tetapi tidak mengesahkan sama ada akan bertanding jawatan
presiden.
Bekas senator, bekas timbalan menteri dan juga seorang peguam, Gan
kalah kepada Presiden Liow Tiong Lai dengan beza undi tipis- 186- pada
pemilihan parti lalu.
Liow yang hilang kerusi Bentongnya kepada DAP pada 9 Mei lalu kini
tidak begitu menonjolkan diri dan mengatakan tidak akan mempertahankan
jawatan presiden.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan