Menteri perlu dinilai,atau mungkin Perdana Menteri sepatutnya berundur

Oleh Abu Hassan Adam

Sekurang-kurangnya Dr Mazlee cuba membuat berbagai percubaan dalam memajukan kementrian pendidikan. Ini diakui sendiri oleh Tun Mahathir. Dan sebagaimana kebiasaan manusia yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan, maka Dr Mazlee juga dikatakan melakukan kesilapan, suatu ‘kesilapan’ yang amat tidak disukai oleh Tun Mahathir yang menyebabkan beliau dinasihatkan untuk meletak jawatan.

Bagaimana pula dengan keadaan menteri-menteri lain?

Jikalau dikatakan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan bermakna bahawa mereka tidak langsung berusaha untuk melakukan perubahan dan pembaharuan dalam kementerian yang mereka bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya ada menteri yang cuba melakukan perubahan yang cukup besar dengan memperkenalkan kereta terbang untuk Malaysia. Belum lagi kelihatan kereta terbang di negara kita. Sepatutnya menteri berkenaan sudah terlebih dahulu meletak jawatan dari Dr Mazlee. Mungkin kesilapan yang dilakukannya tidak menyakiti hati Tun Mahathir.

Tentulah tidak adil sekiranya fokus kita hanya kepada menteri kereta yang tidak boleh terbang. Ramai lagi menteri lain dalam kabinet Tun Mahathir yang belum mengorak langkah melakukan perubahan ataupun sekurang-kurangnya berusaha untuk memperkenalkan perubahan. Seolah-olah mereka berada dalam keadaan ‘berhoney-moon’ ataupun ‘kegiatan’ mereka tertumpu kepada usaha mengekalkan kedudukan mereka dari segi politik. Ada yang lebih mementingkan keselamatan kedudukan mereka dalam politik lantas terus menerus membuat kenyataan , ‘ Tun Mahathir harus meneruskan pentadbiran sehingga tamat tempoh’.

Ada menteri yang begitu berminat untuk membuat kenyataan demi kenyataan untuk menyedapkan hati rakyat yang mendengar sedangkan tidak nampak pun sesuatu yang konkrit hasil dari tindakannya. Memang gah bunyinya tetapi kadang-kadang kelihatan seperti ‘angan-angan Mat Jenin’ saja.

Kadang-kadang terfikir juga tentang mengapa keadaan di negara kita sekarang menjadi seteruk ini. Kita menyedari bahawa puncanya tentulah pentadbiran yang terdahulu yang telah banyak menimbulkan bencana kepada negara sehinggakan negara Malaysia hampir muflis dengan tindakan pentadbiran yang terdahulu. Tetapi soalnya berapa lama lagi kita perlu menyalahkan pentadbiran dahulu. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menegakkan semula pentadbiran yang berkesan kepada negara.

Kelihatan juga seolah-olah para Menteri tidak mengembelingkan tenaga pentadbir yang ada di setiap kementerian. Kemana perginya Ketua Setiausaha Kementerian. Ke mana hilangnya Ketua Pengarah. Berbilion ringgit dibelanjakan untuk membayar gaji para pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas kementerian. Apakah mereka sedang ‘lena’ menikmati gaji yang lumayan yang diberikan oleh rakyat Malaysia melalui cukai-cukai yang dibiayai oleh rakyat.

Atau mungkin juga disebabkan para menteri kita tidak ‘membuka mulut’ langsung memberikan arahan kepada para pegawai kita tentang apakah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka. Sepatutnya para menteri mesti ‘berani’ memberi arahan tentang apa yang sepatutnya dilakukan demi memajukan kementerian dan negara. Dan sekiranya para menteri ‘mendiamkan diri’ tentulah para pegawai tidak berani untuk bergerak bersendirian.

Mungkin juga agaknya mesyuarat ‘post-kabinet’ yang diadakan selepas mesyuarat kabinet tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh para menteri. Di situlah sepatutnya dijelaskan dengan sejelas-jelasnya oleh Menteri apakah yang sepatutnya dilakukan oleh para pegawai. Jika diteliti dan diperhalusi memang tidak sepatutnya berlaku keadaan di mana sehingga kini negara kita masih belum bergerak dalam keadaan yang sepatutnya.

Jika betullah yang Perdana Menteri akan melihat dan meneliti ‘Report- Card’ setiap menteri maka amat wajarlah tahun 2020 dijadikan titik tolak menilai pencapaian yang dilakukan oleh seseorang menteri. Dan sampailah masanya Tun Mahathir melakukan tindakan drastik menasihati para menteri yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Dan tentulah wajar juga mereka mengikutii jejak langkah Dr Mazlee daripada mereka berada di situ semata-mata untuk memanaskan kerusi dan ‘menghabiskan beras’ sahaja. Ataupun mungkin juga Perdana Menteri yang sepatutnya berundur.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan