GST boleh dihapuskan

Oleh  Manivanan Gowin

Saya ambil maklum kenyataan terdesak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilemparkan kepada pembangkang.

Najib menyatakan bahawa pembangkang telah menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pelaksanaan GST sebenarnya merupakan tanda-tanda kegagalan Umno Barisan Nasional untuk mentadbir kerajaan persekutuan. Kegagalan mentadbir kerajaan dengan dasar kewangan yang efektif dan efisien menyebabkan Umno BN terpaksa bergantung kepada GST sebagai talian hayat untuk mentadbir kewangan negara.

Sebaliknya, kami mampu membuktikan kegagalan Umno BN yang melaksanakan GST dengan membebankan dan menderitakan rakyat biasa.

Sudah berulang kali diutarakan bahawa GST boleh dihapuskan dengan mekanisme yang telah dicadangkan oleh Pakatan Harapan.

Penghapusan GST boleh dilaksanakan dengan mengurangkan bayaran faedah hutang kerajaan yang kini berjumlah RM680 bilion.

Hasil tambahan lain boleh diperolehi melalui pengurangan perbelanjaan yang tidak penting dan pembaziran yang diamalkan oleh Umno BN.

Apa yang dapat dinikmati oleh rakyat sekarang ialah mereka semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, termasuk GST dan penghapusan subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Penghapusan GST boleh dilakukan oleh Pakatan Harapan dan tidak akan mendatangkan masalah untuk melakukannya kerana hanya perlu diganti dengan sumber kewangan kerajaan yang mengutamakan rakyat biasa.

Saya ingin menegaskan bahawa sememangnya Pakatan Harapan komited melalui pengumuman Dasar 100 Hari selepas mengambil alih Putrajaya seperti yang diumumkan pada Julai lalu, antara lain menghapuskan GST.

Kini terpulang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan membuat keputusan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sama ada untuk bersama Pakatan Harapan atau terus ditadbir oleh kerajaan Umno BN.

* Manivanan Gowin adalah ahli parlimen PKR bagi Kapar.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan