Dun Perak : Sejarah pengkhianatan dan persaingan kuasa membunuh kemanusian.


Perak menjadi satu-satunya negeri Pakatan Harapan (PH) yang tumbang tetapi masih belum mempunyai menteri besar. Kedah - walaupun masih diketuai Mukhriz Mahathir - namun kedudukannya bolehlah diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Ini adalah kesan domino daripada krisis PH yang menyebabkan kerajaan gabungan itu di peringkat persekutuan tumbang.

Adalah dijangka keadaan tidak menentu ini berpanjangan sehingga PRU15. Ketika negara berhadapan dengan keadaan ekonomi yang merudum dan serangan Covid-19, keadaan politik tanah air sekadar menambah kerumitan yang ada.

Sudah beberapa hari Perak tanpa menteri besar. Perikatan Nasional (PN) Perak yang diketuai Shaarani Mohamad masih buntu untuk memujuk Peja (Ahmad Faizal Azumu) melepaskan tuntuannya untuk kembali menjadi MB Perak.

Pesurhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, nampak sekadar mengambil sikap mengikut rentak Umno ketika Umno mempunyai wakil seramai 24 orang dalam DUN manakala PAS hanya ada tiga.

PAS juga khabarnya menghantar nama calon menteri besar mereka sendiri. Dipercayai PAS menghantar nama Razman.

Peja telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak hari lalu. Ia selari dengan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Anak emas Amanah
Peletakan jawatan itu telah membentuk satu landskap politik baru di Perak apabila empat Adun PH pula meninggalkan parti masing-masing dan membolehkan gabungan PN menguasai DUN.

Mereka yang terbabit ialah Adun PKR untuk Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri - yang menyertai Bersatu, Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong, A Sivasubramaniam.

Yong dan Sivasubramaniam ialah wakil DAP sebelum ini.

Seorang lagi yang berpaling tadah ialah Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dari Amanah yang menjadi wakil bebas.


Tindakan Abdul Yunus, Sivasubramaniam dan Yong memang tidak mengejutkan kerana diyakini mereka ada masalah dalam parti masing-masing.

Namun tindakan Hasnul meninggalkan Amanah adalah sesuatu yang mengejutkan. Hal ini kerana dia dianggap seperti anak emas Amanah. Dia ditimang-timang sejak kecil dan dipupuk-pupuk sehingga dewasa sebagai pemuda.

Tidak sampai sepenggal terjun dalam arena politik, masih muda, tapi - itulah politik - untuk beralih arah dan angin, selera seseorang tidak pernah kenal usia dan rupa.

Selain itu, Peja juga mendapat sokongan Zainol Fadzi Paharudin (Adun Sungai Manik) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah). Ini menjadikan sokongan pada Peja sebagai menteri besar ada tujuh dengan mengambil kiri dirinya sendiri.

Adun Sungai Manik dan Tualang Sekah itu memang sejak awal menjadi penyokong kuat Peja.

Hanya bersandarkan jumlah tersebut, Peja tidak boleh membentuk kerajaan.

Sokongan Peja kemudian bertambah apabila Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih, yang tidak sehaluan dengan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, memberi sokongan kepada bekas menteri besar Perak itu.

Oleh sebab itu dipercayai Peja telah memperolehi sokongan sebanyak 10 Adun. Kesemua sokongan tersebut diperolehinya dengan mengambil kira Adun PH yang masih dirahsiakan namanya.

Peja perlu mendapat sokongan sama ada daripada PN yang mempunyai 28 Adun atau PH yang mempunyai 24 Adun. Angka sokongan itu pun berubah-ubah.

Para broker yang dilantik oleh pihak-pihak tertentu sedang giat menumpukan beberapa calon tertentu dalam PH dan juga PN untuk mengolah sokongan kumpulan masing-masing.

Adalah dipercayai tawaran yang dibuat untuk mengumpan Adun terbabit melibatkan jumlah wang yang mencecah jutaan ringgit, selain habuan-habuan lain.

Betullah, memang untung berjual beling orang daripada berniaga unta!

Tawaran tersebut juga sebenarnya tidak memadai untuk mencairkan hati Adun. Justeru broker-broker politik itu mencari beberapa kelemahan peribadi dan hubungan mereka dengan pimpinan dalam parti.

Rasa tidak puas hati dengan pemimpin tertinggi di peringkat negeri akan digunakan sebagai racun yang mematikan semangat berjuang bersama.

Oleh itu, broker terbabit membuat semakan dan kajian tentang krisis dalaman yang berlaku dalam parti-parti PH atau PN. Mereka akan berperanan sebagai batu api bagi membakar segala jambatan yang ada.

Tujuh exco mengadap Sultan Perak
PN hanya perlu mencuri dua Adun PH untuk menafikan peluang Peja kembali sebagai menteri besar Perak dan membentuk kerajaan negeri.

Untuk mendapat majoriti mudah di DUN Perak, sesuatu kumpulan memerlukan 30 orang Adun. Oleh itu, PN sedang berusaha melobi dan meraih sokongan daripada Adun PH.

Amanah kini mempunyai lima Adun selepas Hasnul - yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional - mengisytiharkan dirinya sebagai Adun bebas.

Apabila nama Peja tidak tersenarai dalam kabinet Muhyiddin Yasin, dia tidak ada pilihan selain tetap bertapak dan berakar di Perak. Ini adalah faktor yang sangat kuat untuk Peja terus mempertahankan tuntutannya sebagai menteri besar.

Tambahan pula Johor yang dahulunya dipegang oleh Bersatu kini terlepas dari genggaman dan sudah dicengkam Umno.


Selain untuk menempatkan diri dalam kerajaan, Peja juga terpaksa mempertahankan maruah Bersatu-Muhyidin dalam keadaan ini.

Ia bukan soal peribadi Peja sendiri semata-mata tetapi maruah partinya.

Pukul 10 pagi tadi, Presiden Amanah Mohamad Sabu mengadakan pertemuan dengan semua Adun Amanah di Ipoh. Semalam Adun PH sudah mengadakan perbincangan sesama mereka.

Ada kemungkinan PH akan membuat keputusan terus menyokong Peja sebagai menteri besar Perak walaupun ada suara-suara yang menentang pendirian tersebut. Tunggulah.

Kira-kira jam 5 petang ini, tujuh bekas exco Perak akan mengadap Sultan Perak. Dipercayai pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memecahkan kebuntuan politik di negeri itu.

Tidak diketahui mengapa tiga bekas exco lain yang meninggalkan parti mereka - Hasnul, Yong dan Yunus - tidak dipanggil.

Terdahulu, Saarani Mohamad mengadap sultan dan menyampaikan nama calon menteri besar atas nama Umno.

Sebagai rakyat biasa, teruslah bekerja dan membanting tulang empat kerat kita demi sesuap nasi anak-anak isteri.

Sebagai petani, teruslah menanam padi dan sayur-sayuran di tanah kalian. Semoga tumbuh-tumbuhan mendoakan kebahagian kita semua.

Sebagai kerani, kekalkan usaha mengurus kerja-kerja kepejabatan. Sebagai orang tua, berdoalah.
Sebagai penulis, inilah yang mampu saya catatkan. Sejarah pengkhianatan dan persaingan kuasa yang membunuh kemanusian. Kemanusiaan telah mati. Bukan demokrasi yang mati.

DR MUHAIMIN SULAM ialah pencatat sejarah suka dan duka bangsa. Daripada pensyarah universiti, penyair, aktivis politik dan budaya kini dia menjadi penghuni tanah perkebunan di pinggir kota Melaka.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan