“Menghalau bot berisi 400 pelarian sehingga mereka berada di laut sampai dua bulan adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar,” kata beliau pada satu kenyataan di blognya hari ini .
Dr Mahathir dipercayai merujuk kejadian bot pelarian Rohingya yang hanyut selama kira-kira dua bulan di laut selepas gagal memasuki perairan Malaysia, yang menyaksikan 20 penumpang terkorban, manakala 382 lagi mangsa yang kebuluran berjaya diselamatkan pengawal pantai Bangladesh.
Bot itu dilaporkan diselamatkan pada 15 April, dan seorang pelarian dilaporkan berkata mereka telah tiga kali diarahkan pulang oleh Malaysia.
Kesemua 382 mangsa yang terselamat dilaporkan akan dihantar kembali ke Myanmar.
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia mengkritik negara Asia Tenggara termasuk Malaysia yang enggan menerima bot yang membawa pelarian Rohingya daripada berlabuh di pesisir pantainya dan menyifatkan Covid-19 tidak wajar dijadikan alasan membiarkan lautan menjadi kubur buat mereka.
Jangan benci mangsa kezaliman
Sementara
itu, Mahathir berkata pada mulanya, orang Melayu bersimpati dengan
orang Rohingya, namun kerana kehadiran mereka menjadi begitu ramai dan
terdapat perbuatan mereka yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka
rasa simpati akhirnya bertukar menjadi benci.“Sesungguhnya kita telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian. Mereka sepatutnya pergi ke negara lain. Dan negara lain juga perlu buka pintu mereka,” ulasnya.
Pada masa lalu, Malaysia memiliki sejarah menerima pelarian atas dasar kemanusiaan. Pulau Bidong di Terengganu pernah menempatkan puluhan ribu pelarian Vietnam sejak 1978 selama 12 tahun sebelum mereka dipindahkan ke negara ketiga.
Selain itu, Malaysia juga pernah menerima pelarian dari Kemboja yang ketika itu lari daripada rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.
Ketika penghapusan etnik Bosnia oleh Serbia antara 1992 ke 1995, Malaysia turut memberi perlindungan kepada pelarian dari Bosnia-Herzegovina.
Sebaliknya, negara sepatutnya mengecam Myanmar dan pemimpinnya, Aung San Suu Kyi atas kezaliman mereka, menolak dagangan dengan mereka serta mendedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia.
Katanya lagi, negara wajar mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan terhadap Myanmar.
“Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman. Negara-Negara Islam dan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar,” katanya lagi.
Pada 17 April lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin dari Rohingya daripada memasuki perairan negara, di kedudukan 70 batu nautika dari barat Pulau Langkawi.
Menurut kenyataan TUDM, kemasukan mereka dikhuatiri akan membawa kluster baru penularan Covid-19 ke negara ini.
Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, kapal KD Lekiu kemudian mengagihkan bekalan makanan kepada pelarian Rohingya itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari perairan negara.
Etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar yang majoritinya beragama Buddha.
Pada 2017, lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan Myanmar itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".
Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ) pada 23 Januari mengarahkan Myanmar mengambil langkah
segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam - keputusan
yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh negara kecil
Afrika yang membawa kes itu ke ICJ.
Tindakan undang-undang yang
failkan Gambia pada November tahun lalu kepada badan tertinggi PBB untuk
pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan
beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.Keputusan akhir mahkamah mungkin mengambil masa bertahun-tahun, dan keputusan pada Khamis hanya melibatkan permintaan Gambia untuk langkah-langkah awal, lapor Reuters.
0 comments:
Catat Ulasan