Sidang Parlimen sehari: Menteri PN kantoi putar belit nasihat KKM?

Terdapat percangahan antara kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berhubung keputusan mengadakan sidang Parlimen selama sehari pada 18 Mei ini, dakwa Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Takiyuddin yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen sebelum ini menjelaskan sebarang keputusan kerajaan ketika ini dipandu atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, Kit Siang mendakwa kenyataan Takiyuddin nyata bercanggah dengan apa yang ditegaskan Dr Noor Hisham pada sidang media hariannya semalam.

“Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, Kementerian Kesihatan tidak pernah menasihatkan supaya persidangan Parlimen selama sehari.

“Ia seolah-olah menghina sistem demokrasi berparlimen dan melumpuhkan fungsi Parlimen dalam meneliti serta menyemak imbang tindakan kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 di negara kita.
“Jelas sekali Menteri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Parlimen, Datuk Takiyauddin Hassan telah salah faham ataupun memutarbelitkan nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan berikutan situasi Covid-19,” ujarnya.

Kit Siang adalah yang pertama menzahirkan rasa “ragu” dengan kenyataan Takiyuddin yang didakwa kononnya mendapat nasihat pihak KKM dan pakar-pakar kesihatan.

Pemimpin veteran DAP itu, dalam pada itu turut menggesa Parlimen bersidang sekurang-kurangnya 10 hari bagi memberi peluang kepada wakil rakyat untuk meneliti usaha membendung Covid-19 oleh kerajaan.

Beliau turut menggesa Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Kebajikan Sosial bagi membolehkan kerajaan mengambil pengajaran daripada kejayaan serta kegagalan negara-negara lain dalam menangani wabak ini.

“Peperangan melawan Covid-19 ini adalah peperangan global, bukan tempatan.

“Kita pula perlu membantu membangunkan kaedah terbaik dalam perjuangan ini dan mengelakkan sebarang cadangan tidak tepat seperti mencadangkan persidangan Parlimen untuk satu hari sahaja,” tegasnya.

Kit Siang sebelum ini turut mencadangkan Parlimen Malaysia mengikut langkah yang diambil Parlimen di negara-negara lain dengan mengadakan persidangan Parlimen secara maya
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan