Sejak Si Segak itu dimasukkan dalam kurungan, dan diperikan oleh Pemilik Kebun Binatang sebagai ketua sekian siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi; spesis monyet yang lain sudah berasa cuak.
Pemilik Kebun Binatang memberikan jolokan kepada Si Segak sebagai ‘Pak Syeikh’. Gelar itu yang menurut Pemilik Kebun Binatang adalah sakral, kudus dan penuh kultus membolehkan Si Segak menjadi ketua atau pengarah dalam kurungan rumpun primat haplorin.
Untuk menegaskan kewujudannya sebagai seorang pengarah, Si Segak atau Pak Syeikh menampilkan dirinya serba-serbi tahu. Adalah sangat penting untuk menonjolkan diri sebagai sami yang mengerti.
Seorang ketua haruslah pujangga. Seorang Pak Syeikh mesti juga arif menggembar-gembur, misalan menunjukkan diri hebat meskipun tidak hemat; menjelmakan diri pandai meskipun selalu terkapai; memperaga diri bijak walaupun cicak. Dalam pada itu Si Segak atau Pak Syeikh dalam melagakkan dirinya sebagai ketua atau pengarah harus pula berpura-pura berbudi. Seorang yang segak dan Pak Syeikh mesti juga budiman. Ia kadang-kala menabur janji manis agar dapat membeli jiwa pengikutnya. Janji manis itu dieja sebagai R-E-F-O-R-M-A-S-I.
Lama-kelamaan siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi menerima Si Segak atau Pak Syeikh sebagai ketua atau pengarah dalam kurungan mereka. Tambahan pula titah kuasa itu datang daripada Pemilik Kebun Binatang. Segala perintah dan larangan daripada Pemilik Kebun Binatang tidak boleh dicabar, apatah lagi disangkal.
Hanya seorang/seekor yang agak berhati-hati mewaspadai Si Segak, iaitu Insan. Mungkin kerana ia berakal.
Dalam satu syarahan seratus hari sesudah ditunjuk Si Segak sebagai ‘Pak Syeikh’, dia telah melabun bermacam-macam. Dia telah mendakwa dirinya seorang “cendekia”. Si Insan arif sekali pendabik dada mengakui “cendekia” itu harusnya seseorang (atau seseekor) yang betul-betul tajam fikiran, benar-benar mengerti yang ia sungguh cerdas. Oleh sebab ia lekas dan pantas memahami keadaan, ia amat cekap dan cekatan mencari jalan keluar khusus menggunakan pelbagai kesempatan. “Cendekia” juga mesti pula cerdik dan amat terpelajar.
Pak Syeikh juga memanggil dirinya Reformis.
Barangkali kerana hairan melihat Si Segak menggunakan, membodohkan dan mempisang-pisangkan siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi; Insan memutuskan untuk mencabar syarahan seratus hari Pak Syeikh.
Kata Insan; [Apakah yang kamu maksudkan itu “cendekia” atau “candakia”. Ini kerana “candakia” itu lain sekali. Ia bukan saja berbeza dari segi ejaan tetapi juga dari segi pengertian dan sifatnya.
“Candakia” adalah sifatnya kuat berbuat bohong habis-habisan ke tiap-tiap tempat yang ia pergi. Jadi, ia boleh bermuka-muka di mana pada satu tempat dia akan berbahas cakap cara lain sementara di satu tempat lain ia akan memulas hujah menjadi lain pula cakapnya. Maka inilah sejahat-jahat haiwan. Tidak lain tidak bukan ia adalah munafik. Jauh sekali Reformis].
Tiada siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi yang ingin memberi perhatian kepada kata-kata Si Insan. Lagipun Si Insan itu datang dari tempat lain. Dunianya beza.
Sesudah acara labun kebun dan carut-marut itu berakhir, Pak Syeikh telah memotong kek yang di permukaannya – selain ada krim ada pula tempelan wajahnya – yang segak. Meskipun kek itu tidak sedap, lantaran bantat; siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi telah sepakat mengatakan ia lazat.
Mereka telah sama-sama mengutarakan dengan penuh gah: [Sedap Pak Syeikh].
Perlahan-lahan Si Insan telah tersudut dan dibucukan di satu penjuru.
Perlahan-lahan peranan Si Insan dikecilkan.
Mereka yang mengecap potongan kek, dan tandan-tandanan pisang begitu senang kenyang dan ditundukkan.
Bulan demi bulan siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi; jantan mahupun betina meraikan kemeriahan Pak Syeikh. Apa sahaja perbuatan salah Pak Syeikh dialu-alukan, disungguh-sungguhkan betulnya padahal ia terang-terang tidak semenggah.
Semua yang ada dalam kurungan itu telah mengHUHU dan mengWUHWUH seraya menggaru bawah ketiak dan perut berbulu demi memastikan dukungan dan sokongan padu mereka direkodkan.
Si Segak mulai melakukan salah guna kuasa dalam kurungan itu secara berleluasa. Ia bermula apabila ia mengeluarkan beberapa fatwa politik untuk kepentingan dirinya.
Fatwa pertama: [Siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi dibenarkan makan pisang seperti pisang Berangan, pisang Masak Hijau, pisang Nipah, pisang Raja, pisang Tanduk, pisang Awak dan pisang Raja Udang].
Fatwa kedua: [Pisang Embun, pisang Emas, pisang Rastali hendaklah dimakan oleh haiwan yang segak, yang bijak, berkelas Reformis, budiman, warak dan memiliki akal budi].
Fatwa ketiga: [Pisang haram untuk makanan Insan].
Pada mulanya, fatwa-fatwa politik tersebut telah disahut dengan sungguh meriah dan penuh keraian dengan sekian HUHU dan WUHWUH sambil digaru dan digesel ketiak dan pelbagai organ tubuh sesama sendiri. Acara jilat menjilat itu sungguh disambut bagaikan suatu temasya.
Si Insan di satu sudut kurungan hanya bersuara perlahan:
[Di dalam daging ada duri
diumpan-umpan asal menjerat;
Apa dikisah maruahnya diri
dijilat-jilat asal mendapat].
Yang memang tersedia ada adalah pisang Embun, pisang Emas, dan pisang Rastali.
Perlahan-lahan mereka kelaparan, dan mulai resah.
Si Segak yang tahu haiwan di dalam kurungan itu dalam gelisah menawarkan fatwa baharu bahawa siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi dibenarkan makan pisang Embun, pisang Emas, dan Rastali dengan syarat semua bekerja untuk dirinya. Bekerja memastikannya dia menjadi Pengarah Perdana.
Si Insan yang tahu setiap helah itu menempik, [Apakah kalian bodoh, ia bukan segak, ia bukan Pak Syeikh, ia bukan budiman, ia bukan Reformis, ia juga bukan alim dan baik seperti digambarkan; ia hanya seekor kongkang. Seekor kongkang adalah spesis monyet yang lembab dan tidak tahu bekerja. Tidak ada hasil dapat dinantikan daripadanya. Ia mungkin nampak comel tetapi ia tidak boleh bekerja, dan hanya berguna untuk Pemilik Kebun Binatang].
Pak Syeikh sangat marah, malah meruok dan baran mencanak-canak apabila dicaci maki oleh Si Insan. Ia dengan cepat menerbitkan kata-kata, [Kita minta Si Insan menarik balik kata-katanya sebelum hari Selasa pukul 9 malam, atau ia memang memaksudkan kita ini dengan bodoh, buruk, jahat dan penipu].
Hari Selasa pukul sembilan berlalu tanpa Si Insan menarik balik kata-katanya. Pak Syeikh sangat marah dan sedaya upaya mencari jalan untuk menutup perangai gasang dan tembelangnya. Paling-paling kerana sudah tiada argumen untuk mendalih ia terpaksa mengatakan begini, [Saya bukan Pak Syeikh, tapi saya Reformis].
Siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi yang tidak tahu bagaimana harus memberi reaksi telah membalas dengan daya yang lemah; [Ya, betul Reformis bukan kongkang].
Mereka akur dengan Si Segak, dan mulai bekerja keras untuk menaikkan nama Pak Syeikh, demi sesuap pisang. Antara kerja keras yang mereka lakukan ialah membersihkan tahi, najis dan kotoran Pak Syeikh tersebut. Mereka patuh kerana merasakan Pak Syeikh atau Si Segak adalah Reformis tulen, dan berhak menjadi Pengarah Perdana sejak lahir. Maka ia tidak harus dibantah. Derhaka pantang sekali.
Masa berlalu perlahan-lahan buat Si Insan. Kadang dia di dalam. Kadang dia di luar. Tetapi apa pun, dia pemerhati yang tekun.
Genap setahun setengah Pak Syeikh dimuatkan dalam kurungan, Pemilik Kebun Binatang telah menghantar beberapa pekerja zoo untuk menjerat kongkang seekor itu.
Siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi tergamam melihatkan kongkang itu menggelupur dan bergelut dalam perangkap. Ia cuba melepaskan diri, [Aku tak nak jumpa Hamzah Aku tak nak jumpa Hamzah].
Timbul belas kasihan dalam hati mereka, tetapi fatwa-fatwa pembodohan dan kerja-kerja keras yang mereka harus lakukan dalam masa menjilat dan membodek Pak Syeikh telah kembali bergulir dalam retina mata.
Dummm.
Sejak kongkang pergi semua terasa sepi. Dua bulan lamanya semua membuat-buat tiada apa yang berlaku dan memendam rasa ingin tahu. Pun, seekor siamang betina memberanikan diri mendekati Si Insan dan bertanya; [Sebenarnya, apakah yang sudah terjadi? Siapakah Hamzah?]
Dummm.
Si Insan membalas, [Tiada apa-apa yang berlaku. Alat kelamin kongkang digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat mati pucuk manusia. Kongkang itu dibela oleh Hamzah di dalam kurungan ini untuk tujuan itu. Ia ditudingi sebagai ketua agar tiada siapa yang mengganggu tumbesaran kemaluannya, dan mengganggu pertumbuhan dan kematangan seksualnya. Sudah sampai masa, maka buah akan dituai untuk makanan].
Siamang, monyet, kera, beruk, lemur, babun, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi berpandangan sesama sendiri. Selepas dua bulan barulah kurungan itu pecah kecoh kembali.
Semua bersorak dan berHUHU dan berWUHWUH sambil menggaru-garu ketiak dan bontot berbulu.
Di tengah hiruk-pikuk tersebut Si Insan membuka selak kurungan dari dalam, dan berjalan keluar seperti yang selalu dia lakukan sewaktu yang lain tidak perasan. Yang lain tuptup membisu seribu bahasa. Babun memegang jeriji besi kurungan dan memandang belakang Si Insan yang makin kecil menjauh.
Siamang, monyet, kera, beruk, lemur, ungka, orangutan, gorila, dan cimpanzi terus-terusan berpestaan tanpa mengetahui apa yang harus dikendurikan. Babun tersandar memerhatikan Si Insan menghilang. Kemudian dia juga turut serta dalam jerkah jerit yang riuh.
Teriak dan tempik HUHU dan WUHWUH dari kurungan kecil rumpun primat haplorin itu bersipongang menerobos sehingga sayup keluar dari kebun binatang.
HUHU.
WUHWUH.
0 comments:
Catat Ulasan