Seorang PM Dari Borneo

Oleh Adleen Arleena

Menilai pada situasi sekarang, amatlah jelas baik Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim tidak mempunyai angka yang cukup untuk mengambil kembali kerajaan.

Mahathir, sekalipun jika berjaya menarik sokongan dari Sabah dan Sarawak, masih tidak ada angka yang cukup tanpa sokongan dari 38 kerusi PKR yang setia bersama Anwar.

Anwar pula, jika sekalipun dapat menyatukan partinya sendiri dan juga Amanah serta DAP masih belum ada angka yang cukup tanpa lima kerusi Bersatu yang setia bersama Mahathir dan kemungkinan besar, sokongan dari GPS yang pastinya akan menumbangkan Perikatan Nasional (PN) dan mengembalikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Maka jelas PH (atau kini lebih dikenali PH Plus) berdepan jalan buntu. Ini bukan lagi persoalan perebutan kerusi Perdana Menteri antara Mahathir dan Anwar, tapi juga tentang angka yang cukup.

Mahathir beralah dan Anwar jadi PM, tapi angka mungkin tiada. Anwar beralah dan Mahathir kembali Perdana Menteri, angkanya juga mungkin tidak cukup.

Oleh itu penyelesaian yang mungkin untuk memecah kebuntuan ini adalah meletakkan calon pilihan ketiga, dengan harapan ia mendapat persetujuan 100% dari PKR, DAP, Amanah, lima ahli parlimen Bersatu yang setia bersama Mahathir dan juga Warisan yang merupakan sekutu rapat PH. Dan calon ketiga ini juga, mestilah mempunyai keupayaan menarik sokongan dari faksi politik lain, seperti GPS contohnya.

Untuk menjamin sokongan yang cukup kepada calon Perdana Menteri ketiga dan juga PH Plus, individu tersebut mestilah berada di luar dari kem Mahathir atau Anwar. Bukannya ahli Bersatu atau pun ahli PKR, tetapi datang dari parti ketiga. Dan beliau juga mestilah mempunyai keupayaan untuk menarik sokongan dari Sabah dan Sarawak memandangkan blok politik dari sebelah Malaysia Timur yang boleh mengubah imbangan kuasa politik negara pada ketika ini.

Melihat kepada keperluan di atas, maka pilihan yang paling tepat mungkin dengan meletakkan calon Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak. Dan di dalam PH Plus, sangat jelas pilihan untuk ini hanya dapat direalisasikan melalui Warisan, yang merupakan sekutu rapat PH sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam sejarah penubuhan Malaysia sejak 16 September 1963, belum pernah ada mana-mana individu dari Malaysia Timur dilantik ke jawatan Perdana Menteri. Ini berlaku walaupun keluasan Sabah dan Sarawak mewakili 60% dari keluasan Malaysia dan penduduknya sekitar 20% dari populasi keseluruhan negara. Sabah, Sarawak dan Labuan juga mempunyai sejumlah 57 kerusi Dewan Rakyat, atau 25% dari keseluruhan 222 kerusi parlimen.

Dan apa yang lebih menarik, sejak PRU12 pada tahun 2008 dan seterusnya PRU13 pada 2013, Sabah dan Sarawak telah memainkan peranan besar dalam mencorak lanskap politik Malaysia. Sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3 bermula pada tahun 2008, kelebihan kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak yang memastikan BN kekal sebagai kerajaan. Namun begitu, peranan besar ahli parlimen Malaysia Timur tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Jika tidak ada pemimpin politik asal Borneo yang dilantik menjadi PM sekalipun, setidaknya biarlah ada yang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika era BN. Tetapi ini tidak berlaku ketika penggal parlimen ke-12 dan ke-13.

Maka, pilihan ketiga yang dicanangkan untuk mengangkat seorang calon Perdana Menteri dari ahli parlimen Sabah merupakan satu idea segar dan menarik. Setelah 57 tertubuhnya Persekutuan Malaysia, prospek mempunyai seorang Perdana Menteri asal Borneo adalah satu kelainan yang belum pernah berlaku. Atas kertas, ia dilihat mudah menarik sokongan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak, selain menjadi bukti bahawa tidak wujud perbezaan darjat antara Semenanjung dan Borneo dalam negara persekutuan ini. Perdana Menteri asal Malaysia Timur juga akan membantu memadamkan sentimen dominasi Malaya yang selama ini menjadi punca wujudnya gerakan pemisah atau separatis dari kumpulan tertentu di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu adakah pilihan terbaru untuk mencalonkan Shafie Apdal dari parti Warisan selaku Perdana Menteri pilihan PH Plus satu langkah yang mampu membuahkan hasil?

Jawapannya, mungkin ya.

Tetapi bagaimana ia boleh berjaya atau sebaliknya, masih tergantung kepada dua individu dan dua parti utama dalam PH.

Mahathir dan Anwar, Bersatu (faksi Mahathir) dan PKR.

Kesepakatan mereka masih diperlukan sebelum idea pilihan ketiga ini dapat dijayakan seadanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan